Khamis, 24 Disember 2015 | 7:33am

Les Copaque menang dua anugerah di Jakarta

KUALA LUMPUR: Les Copaque, studio animasi terulung di Malaysia, memenangi anugerah 'Watak Kartun Yang Paling Diminati" dan "Kartun Yang Paling Diminati" di Anugerah Ibu dan Anak 2015 Jakarta melalui siri animasinya yang terkenal, Upin Ipin.

Studio itu menewaskan calon lain dengan bilangan undi SMS tertinggi.

Pengarah Kreatif Multimedia, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Hasnul Hadi, berkata pihaknya berharap pengiktirafan diterima itu akan memberikan inspirasi kepada lebih banyak studio animasi tempatan untuk mempunyai impian besar dan menjadikan Malaysia bangga.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les Copaque, Burhanuddin Md Radzi, berkata studio berasa terharu dengan pencapaian itu dan akan terus berusaha untuk kecemerlangan dalam apa yang dilakukan.

"Misi kami adalah memberikan yang terbaik dalam mewujudkan animasi bertaraf dunia. Kami menggesa mereka yang terbabit dalam industri ini untuk menyertai kami dalam membawa standard animasi tempatan ke tahap yang lebih tinggi," katanya

Sebagai sebuah syarikat berstatus MSC, Les Copaque diasaskan pada 2005 bagi menerajui industri animasi Malaysia dan memberi peluang kepada graduan tempatan untuk mempamerkan bakat mereka.

Studio yang memenangi pelbagai anugerah itu memperkenalkan buat pertama kalinya, siri Upin Ipin pada 2007 yang membawa kepada pelbagai anugerah, diikuti dengan kemunculan antarabangsa di Disney Channel Asia pada 2009. - BERNAMA

Berita Harian X