Khamis, 28 Januari 2016 | 7:09pm

Samsung optimis jualan telefon pintar kekal kukuh

Pengurus Produk Telefon Mudah Alih, Go Benn Lee
Pengurus Produk Telefon Mudah Alih, Go Benn Lee

PETALING JAYA: Samsung Malaysia Electronics optimis segmen jualan telefon pintarnya masih kukuh pada tahun ini sama seperti tahun lalu.

Pengurus Produk Telefon Mudah Alih, Go Benn Lee, berkata pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pengubahsuaian telefon pintar dan bergerak ke hadapan untuk memperkenalkan teknologi terkini seperti yang diperkatakan oleh Samsung sebelum ini.

"Jadi, kita sentiasa melihat (prospek) dengan positif dan berharap 2016 akan menjadi sebaik 2015 atau lebih baik," katanya ditemui selepas majlis pelancaran telefon pintar Siri Galaxy A 2016, hari ini.

Mengulas lanjut, Benn Lee berkata, ramai orang masih mahu membeli telefon baharu kerana kitaran pembelian kini lebih pendek daripada dua tahun kepada satu tahun setengah.

"Orang ramai masih mahu menukar telefon pintar apabila sudah tiba masanya.

"Kita berharap dengan pengenalan Siri Galaxy A baharu ini adalah tepat pada waktunya di mana orang ramai perlu menukar telefon pintar mereka," katanya.

Mengenai telefon pintar baharu itu, Benn Lee berkata, pihaknya banyak melakukan penambahbaikan terhadap telefon pintar berkenaan dari segi kamera, memori dan bateri.

Siri Galaxy A
Siri Galaxy A

Katanya, telefon pintar itu boleh dikategorikan sebagai telefon pintar selfie yang didatangkan dengan kad mikroSD 32G dan boleh menyimpan hingga 16,000 gambar selfie.

"Kamera telefon pintar ini juga menggunakan teknologi terkini di mana gambar lebih jelas dan terang apabila dirakam dalam keadaan pencahayaan rendah.

"Ciri ini sebenarnya diperkenalkan dalam barisan produk Siri S, tetapi kita kini membawanya kepada telefon pintar kelas pertengahan," katanya sambil menjelaskan telefon pintar berkenaan disasarkan kepada golongan remaja.

Siri Galaxy A itu didatangkan dengan memori yang terbina di dalam telefon pintar sebanyak 16 GB dan slot kad mikroSD sehingga 128 GB bagi memori luar.

Telefon pintar itu mempunyai tiga varian dengan A7 mempunyai skrin sebesar 5.5 inci, A5 (5.2 inci) dan A3 (4.7 inci).

Varian A7 dijual pada harga RM1,899, A5 (RM1,599) dan A3 (RM1,299), termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang boleh didapati dalam warna hitam, emas, putih dan emas merah jambu bermula hari ini.

Berita Harian X