Jumaat, 5 Februari 2016 | 10:54pm

Sektor perkilangan kekal pemacu eksport - MATRADE

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangkakan sektor perkilangan masih menjadi pemacu kepada eksport negara tahun ini, meskipun berhadapan persekitaran ekonomi luaran yang tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata ia berikutan sektor berkenaan masih banyak membabitkan pemprosesan dan sektor hiliran yang memberi nilai tambah kepada bahan mentah sedia ada di negara ini.

Tambahan pula, katanya, ramai usahawan tempatan yang membabitkan diri dalam bidang pengeluaran ketika ini.

"Barang pengeluaran yang dihasilkan adalah untuk negara rakan dagang kita di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang mana akan meningkatkan eksport negara," katanya bagi mengulas mengenai prospek eksport negara tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman prestasi perdagangan Malaysia bagi 2015 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata, pembabitan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) juga akan memberi suntikan semangat kepada usahawan tempatan yang berhasrat mengeksport serta meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka di luar negara.

Selain menyediakan akses pasaran yang besar kepada syarikat tempatan, katanya, TPPA juga akan memberi keyakinan tinggi kepada syarikat asing untuk melihat Malaysia sebagai negara yang mempunyai dasar perdagangan bebas.

"Dengan TPPA, pelabur bukan sahaja melihat Malaysia sebagai pembekal barangan dan perkhidmatan, tetapi sebagai destinasi untuk mereka menjalankan perniagaan.

"Kita juga ingin melihat lebih banyak syarikat antarabangsa datang ke Malaysia, bukan sahaja untuk melabur tetapi untuk membuka ibu pejabat serantau mereka di negara ini," katanya.

Dzulkifli berkata, MATRADE juga akan bekerjasama secara rapat dengan usahawan tempatan, terutama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menembusi pasaran eksport.

Bagi tahun ini, beliau berkata, pihaknya akan menumpukan usaha bagi membantu usahawan PKS, terutama Bumiputera, wanita dan belia untuk membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti eksport.

"Fokus MATRADE kini adalah eksport. Masa untuk eksport sudah tiba dan berharap lebih banyak syarikat tempatan terbabit dalam aktiviti eksport.

"Kami berharap prestasi eksport yang baik dicatatkan pada 2015 akan berlanjutan ke tahun ini dengan mencatatkan prestasi yang lebih baik," katanya.

Berita Harian X