Ahad, 21 Februari 2016 | 10:20pm

TERAJU sasar 80 pemenang SUPERB tahun ini

Megat M Yatim Megat Hamid
Megat M Yatim Megat Hamid

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyasarkan sehingga 80 pemenang dipilih di bawah program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) pada tahun ini, menerusi tiga siri pemilihan yang akan diadakan sepanjang 2016.

SUPERB yang dilancarkan pada 2014 bagi membantu usahawan muda Bumiputera membangunkan idea perniagaan menjadi produk perniagaan berdaya maju, kini memasuki tahun ketiga dan terakhir penganjurannya.

Pemenang yang dipilih menerusi program itu akan mendapat geran untuk membangunkan idea masing-masing, di bawah bimbingan serta pengawasan 10 rakan agensi TERAJU mengikut kesesuaian jenis perniagaan.

Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan/Usahawan TERAJU, Megat M Yatim Megat Hamid, berkata sasaran pada tahun terakhir penganjuran SUPERB adalah untuk mencari antara 40 hingga 80 pemenang baharu bagi membolehkan idea perniagaan mereka dimajukan ke tahap lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, sasaran berkenaan bergantung kepada kualiti permohonan yang diperoleh TERAJU sepanjang 2016 ini.

"Kami juga bercadang untuk terus membangunkan keupayaan pemenang terdahulu menerusi lanjutan kepada program SUPERB, selain bantuan yang diberikan daripada rakan agensi," katanya dalam satu temu bual bersama kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Megat M Yatim berkata, sepanjang dua tahun penganjuran SUPERB, seramai 92 usahawan muda Bumiputera dipilih sebagai pemenang membabitkan peruntukan geran berjumlah RM46 juta secara keseluruhannya daripada kira-kira 5,000 permohonan diterima di seluruh negara.

Katanya, semua usahawan yang dipilih mendapat geran sehingga RM500,000 seorang bagi membolehkan idea perniagaan mereka diterjemahkan kepada produk atau perkhidmatan yang dapat dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Geran yang diberikan hanyalah untuk permulaan. Apabila ditempatkan di bawah rakan agensi TERAJU, mereka perlu menunjukkan bukti konsep produk sebelum menerusi pengkomersialan.

"Apabila potensi mereka diserlahkan ketika tempoh penempatan bersama rakan agensi itu, kami akan menentukan sama ada usahawan terbabit memerlukan bantuan kewangan seterusnya atau pun tidak.

"Ini bermakna, peringkat kedua adalah merancang kaedah untuk mengembangkan kedudukan syarikat berkenaan daripada mula mereka berada di bawah program SUPERB," katanya.

Mengenai penganjuran program SUPERB tahun ini, beliau berkata, TERAJU bukan hanya mencari pemenang yang mempunyai elemen kreativiti dan inovasi, malah idea perniagaan yang berpotensi menembusi pasaran luar negara.

Katanya, TERAJU juga berharap untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai usahawan muda Bumiputera dari Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

"Bagi SUPERB 2016, pemohon perlu memuat naik video selama dua minit untuk membentangkan idea perniagaan mereka. Video akan digunakan untuk menambah baik proses pemilihan, demi memastikan hanya idea perniagaan yang unik dan terbaik akan mara ke peringkat berikutnya," katanya.

Peserta yang terpilih akan melalui program 'boot-camp' bimbingan dan mentor selama sehari untuk menggilap idea perniagaan dan kemahiran pembentangan sebelum layak ke peringkat akhir.

Pada peringkat akhir, finalis perlu membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan Jawatankuasa Pemilihan SUPERB yang terdiri daripada kumpulan usahawan Bumiputera berjaya.

Berita Harian X