Rabu, 2 March 2016 | 6:28pm

Bursa ditutup tinggi bagi hari kedua berturut-turut

KUALA LUMPUR: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras tertinggi harian bagi hari kedua berturut-turut hari ini berikutan sokongan belian berterusan dalam kaunter berkaitan kewangan dan minyak sawit, kata peniaga.

Indeks itu naik 20.21 mata untuk ditutup kepada 1,691.03 mata daripada 1,670.82 mata sebelumnya. Pada 9 pagi, FBM KLCI naik 3.83 mata kepada 1,674.65.

Allianz dan Petronas Gas muncul antara kaunter untung utama hari ini, meningkat 24 sen dan 32 sen setiap satu masing-masing kepada RM10.50 dan RM22.34.

Seorang peniaga berkata, momentum positif di bursa tempatan itu adalah sejajar dengan prestasi kebanyakan bursa serantau berikutan sentimen bulis bagi ekonomi global.

Beliau berkata, saham Asia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir dua bulan apabila data ekonomi positif di Amerika Syarikat dan kenaikan harga minyak semalaman meredakan kebimbangan akan kelembapan ekonomi global.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 120.57 mata kepada 11,716.67, Indeks FBMT100 naik 120.85 mata kepada 11,423.02 dan FBM Emas Shariah melonjak 131.64 mata kepada 12,456.29. FBM 70 naik 80 mata kepada 12,945.49 manakala FBM Ace meningkat 16.29 mata kepada 5,686.31.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan meningkat 39.57 mata kepada 3,291.06, Indeks Kewangan menokok 128.12 mata kepada 14,268.24 dan Indeks Perladangan naik 27.38 mata kepada 7,848.88.

Kaunter untung berjumlah 478 berbanding kaunter rugi sebanyak 375 manakala 343 kaunter tidak berubah, 536 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 1.66 bilion saham, bernilai RM2.28 bilion, daripada 1.67 bilion saham bernilai RM1.65 bilion, yang diniagakan pada Selasa.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 11 sen kepada RM8.75, TNB meningkat enam sen kepada RM13.22, Public Bank menokok 12 sen kepada RM18.64 manakala Petronas Chemicals menambah 10 sen kepada RM6.90.

Dalam kalangan kaunter cergas, AirAsia naik enam sen kepada RM1.63, AirAsia X dan APFT meningkat satu sen setiap satu masing-masing kepada 27.5 sen dan tujuh sen, manakala SKH Consortium tidak berubah pada 8.5 sen.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.13 bilion unit bernilai RM2.18 bilion, daripada 1.17 bilion unit bernilai RM1.55 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE Market meningkat kepada 330.94 juta saham, bernilai RM55.54 juta, berbanding 189.33 juta saham bernilai RM56.54 juta pada Selasa.

Waran berkurangan kepada 201.97 juta unit bernilai RM42.43 juta, daripada 211.48 juta unit bernilai RM38.88 juta, sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 97.37 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (244.68 juta), pembinaan (37.01 juta), perdagangan dan perkhidmatan (501.70 juta), teknologi (27.10 juta), prasarana (14.15 juta), SPAC (22.38 juta), kewangan (68.46 juta), hotel (1.01 juta), hartanah (78.63 juta), perladangan (23.44 juta), perlombongan (5,000), REITs (13.68 juta) dan tertutup (5,100). - BERNAMA

Berita Harian X