Sabtu, 26 March 2016 | 9:49pm

Kisah 1MDB boleh diambil iktibar - Arul Kanda

Arul Kanda Kandasamy.
Arul Kanda Kandasamy.

KUALA LUMPUR: Presiden dan Pengarah Eksekutif, Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, berkata ada pengajaran yang boleh diambil iktibar daripada pengalaman syarikat itu.

Beliau merumuskan bahawa semua entiti harus lebih telus dalam pelaporan mereka, perlu mengurangkan hutang yang berlebihan dan risiko yang tinggi dalam pengurusan syarikat.

"Antara pengajaran yang boleh dipelajari daripada pengalaman 1MDB ialah penggunaan hutang yang berlebihan harus dikurangkan.

"Pengambilan beberapa projek yang begitu besar dan kompleks di bawah satu syarikat saja juga mungkin perlu dilihat kembali," katanya dalam rancangan temu bual 'Business Plus' terbitan stesen televisyen Astro Awani hari ini.

Beliau berkata, syarikat milik kerajaan seperti 1MDB harus berkomunikasi secara berterusan, telus dan terbuka serta perlu menjawab isu yang berkaitan dari awal lagi, iaitu sejak tahun 2009, bukannya mulai 2015.

"Ini adalah apa yang kita boleh pelajari daripada apa yang telah berlaku pada 1MDB. Insya-Allah, dengan pengajaran itu, kami semua dapat mara ke hadapan," katanya.

Arul Kanda berkata, penjualan Edra Global Energy Bhd telah berjaya mengurangkan hutang 1MDB dan ia turut mempunyai lebihan tunai sebanyak RM2.3 bilion untuk meneruskan aktiviti berkaitan infrastruktur Tun Razak Exchange (TRX) dan membayar faedah untuk hutangnya yang lain.

Katanya, separuh daripada hutang 1MDB adalah dalam bentuk dolar AS dan jumlah hutang itu berubah mengikut kadar tukaran ringgit berbanding mata wang itu.

Beliau turut memetik laporan Moody's Investors Service baru-baru ini bahawa 1MDB tidak pernah menjadi isu sistemik kepada ekonomi negara.

"Selepas penjualan Edra Global Energy Bhd, isu itu semakin berkurangan.

"1MDB hanyalah sebuah syarikat yang mengalami masalah perniagaan, yang telah dipolitikkan, tetapi ia telah mengambil langkah rasionalisasi untuk mengurangkan beban hutang dan mara ke hadapan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 1MDB akan mengumumkan pembayaran hutangnya yang lain dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Katanya, syarikat ketika ini dalam fasa pembayaran hutang dan tidak akan membuat hutang baharu.

"Pada pagi ini, kami membuat pengumuman bahawa 1MDB sudah menyelesaikan secara penuh satu hutang berjumlah RM700 juta," katanya.

Sementara itu, Arul Kanda turut menafikan penglibatan Jho Low, individu yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB, dalam apa-apa aktiviti syarikat.

"Sebelum ia (1MDB) menjadi 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) telah ditubuhkan di mana pemegang sahamnya ialah kerajaan Terengganu. Pada masa itu, Jho Low sudah dilantik sebagai penasihat kepada TIA," katanya.

Bagaimanapun, Arul berkata Jho Low telah meletak jawatan pada Mei 2009, sebelum saham TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan dan nama TIA ditukar kepada 1MDB.

"Jadi Jho Low tiada sebarang aktiviti di dalam syarikat, beliau tidak dibayar oleh syarikat dan tidak diberikan apa-apa tugas untuk syarikat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X