Selasa, 29 March 2016 | 8:42pm

Sunway Property perkenal bantuan kewangan

SUNWAY Property, cabang hartanah Sunway Bhd, tampil memperkenalkan bantuan kewangan kepada pembeli yang ingin membeli hartanahnya sebagai langkah proaktif menjamin pelanggan memperoleh pinjaman perumahan.

Kemudahan disediakan menerusi Kempen Kepastian Sunway Property itu meliputi tiga pakej iaitu jaminan pinjaman, penangguhan bayaran dan pelan keluar secara sukarela.

Kemudahan itu disediakan berasaskan `siapa dulu, dia dapat' sehingga 30 September ini.

Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah Malaysia dan Singapura Sunway Property, Sarena Cheah, berkata langkah syarikat memperkenalkan pakej itu bukan untuk menyaingi bank, tetapi sekadar pilihan alternatif terakhir untuk pinjaman perumahan pembeli.

Katanya, ia sebagai maklum balas terhadap persekitaran tidak menentu ketika ini yang menyukarkan orang ramai membeli kediaman, kesukaran mendapatkan pinjaman bank dan kebimbangan diberhentikan kerja.

"Ketidaktentuan dalam ekonomi semasa menyebabkan pembeli bimbang untuk komited membeli kediaman baharu, justeru kami menawarkan kemudahan kewangan fleksibel dan terjamin untuk ketenangan mereka.

"Bagi pembeli yang menepati kriteria asas, kami bersedia membantu mereka menerusi pakej ini bersama pinjaman terjamin, tidak kira sama ada sementara menunggu pinjaman bank mereka diluluskan atau tidak.

"Pembeli juga akan ditawarkan pilihan penangguhan pembayaran dengan bayaran pendahuluan serendah tiga peratus yang mana bakinya boleh dibayar dalam tempoh 12 bulan atau 24 bulan. Pembeli juga diberi menamatkan perjanjian jual beli (SPA) sekiranya mereka diberhentikan kerja," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Turut diadakan semalam ialah pengenalan fasa akhir pembangunan bersepadu di Sunway South Quay iaitu Sunway GEO yang menawarkan 420 unit kediaman kondominium 44 tingkat, disepadukan dengan bahagian runcit dan stesen Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran dan Jualan Pembangunan Hartanah Bahagian Tengah Sunway, Gerard Yuen berkata, kelayakan pemohon akan ditentukan secara teliti, mengikut syarat dan terma supaya pakej itu tidak disalahguna.

Katanya, secara asas ciri kemudahan kewangan disediakan hampir menyamai seperti disediakan institusi kewangan konvensional, namun berbeza dari segi peratusan kadar faedah yang lebih tinggi sedikit dan pinjaman terjamin sehingga 88 peratus.

"Setakat ini pakej ditawarkan untuk projek kediaman yang baharu iaitu di Sunway South Quay dan projek di Bangi serta Mont Kiara," katanya.

Berita Harian X