Ahad, 3 April 2016 | 2:40pm

MDEC perkenal program e-Jutawan

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec), Datuk Yasmin Mahmood. - Foto Roslin Mat Tahir
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec), Datuk Yasmin Mahmood. - Foto Roslin Mat Tahir

JELI: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) akan bakal memperkenalkan program e-Jutawan bagi melahirkan usahawan muda berpendapatan tinggi dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood, berkata buat permulaan, antara 20 dan 30 pelajar lepasan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dari Jeli akan mengikuti projek rintis dalam pembangunan ekonomi digital.

"Mereka akan mengikuti program intensif sembilan bulan berkaitan ilmu tambahan dalam bidang perniagaan seperti cara mengeksport produk, pembungkusan dan pembiayaan kewangan.

"Kita dapati ada dalam kalangan pelajar TVET yang berbakat serta mampu menjana pulangan lumayan ketika melakukan kerja kursus dalam bidang e-Keusahawanan," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah e-Usahawan Cemerlang Jeli, di pusat Rehat dan Rawat (RnR) Gemang di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Yasmin berkata menerusi subjek e-Keusahawanan yang dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran TVET, seramai 2,800 pelajar yang mengikuti latihan di 417 pusat TVET di seluruh negara berjaya mencatat jualan sebanyak RM1.3 juta pada tahun lepas.

Sementara itu, Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata menerusi program e-Keusahawanan yang dilaksanakan di Jeli tahun lepas, seramai 297 usahawan dari daerah berkenaan berjaya mencatat jualan sebanyak RM2.4 juta dalam tempoh enam bulan.

"Kita telah bentang kejayaan program e-Keusahawan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau bersetuju untuk memperluaskan program berkenaan ke seluruh negara, tahun ini.

"Ini salah satu matlamat kerajaan agar ekonomi berasaskan digital dapat dinikmati oleh seluruh rakyat dan diharap dapat membina daya tahan usahawan untuk bersaing dalam dunia perniagaan," katanya.

Program e-Keusahawan merangkumi teknik asas membuat iklan digital menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan laman web bagi mempromosi produk. - BERNAMA

Berita Harian X