Khamis, 14 April 2016 | 8:59pm

Dana patuh Syariah BTF sedia peruntukan RM100j

KUALA LUMPUR: MALAYSIA Debt Ventures Bhd (MDV) dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), melancarkan Dana Teknologi Bumiputera (BTF), bertujuan memudahkan syarikat berasaskan teknologi mengembangkan perniagaan melalui kemudahan modal kerja dan pembiayaan aset patuh syariah.

Kerjasama antara MDV dan TERAJU bermula dengan penyertaan MDV dalam inisiatif TERAJU melalui Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) pada 2014, yang membantu mewujudkan satu saluran usahawan Bumiputera berkualiti serta mapan.

"Bagi meneruskan momentum ini, MDV dan TERAJU kini menawarkan dana patuh syariah baharu berjumlah RM100 juta menerusi BTF.

"Dana ini boleh diakses oleh syarikat berasaskan teknologi Bumiputera yang disenaraikan di bawah program TERAJU iaitu Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) dan Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS)," kata MDV menerusi kenyataan, hari ini.

Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Korporat MDV, Nizam Mohamed Nadzri, berkata BTF dijangka memastikan ekosistem pembiayaan yang lebih menyeluruh bagi syarikat Bumiputera, khususnya yang berasaskan teknologi.

Katanya, dana itu juga menyasarkan untuk mengisi jurang pembiayaan yang wujud bagi syarikat permulaan di bawah SUPERB, sebagai program pembiayaan susulan kepada bantuan diterima daripada TERAJU.

"BTF adalah inisiatif progresif dari perspektif dua mandat yang digalas MDV dalam menyediakan pembiayaan pembangunan dan latihan syarikat teknologi bersaiz kecil dan sederhana (PKS) secara mapan.

"Ia terutama sebagai dana membiayai graduan program SUPERB yang memerlukan bimbingan," katanya berucap pada majlis pelancaran program BTF.

Semua permohonan untuk pembiayaan di bawah dana itu tertakluk kepada penilaian berdasarkan kriteria risiko kredit MDV dan juga proses penilaian risiko.

Bagi syarat kelayakan mendapat pembiayaan di bawah program BTF, syarikat TERAS dan SUPERB mesti diperbadankan di Malaysia dengan modal berbayar minimum RM100,000 serta mempamerkan status projek berasaskan teknologi yang baik dan berdaya maju.

Kemudahan pembiayaan ditawarkan bermula RM500,000 sehingga maksimum RM5 juta.

Selain meningkatkan akses kepada jenis pembiayaan terutama bagi syarikat permulaan sektor teknologi, dana patuh syariah itu juga berfungsi untuk memenuhi permintaan pelanggan bagi kepelbagaian pembiayaan berasaskan syariah.

MDV, yang juga anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pembiaya inovatif premium dan penyelaras pembangunan terulung bagi sektor teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi, teknologi hijau dan sektor teknologi yang baharu berkembang di Malaysia.

Ia ditubuhkan pada 2002 dengan objektif menyediakan kemudahan kewangan kredit yang inovatif dan fleksibel bagi membangunkan sektor ekonomi yang berimpak tinggi.

Berita Harian X