Isnin, 18 April 2016 | 1:55pm

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia kekal dalam lingkungan rendah pada sesi dagangan pagi ini berikutan kerugian saham berwajaran tinggi akibat penurunan harga minyak yang menjejaskan minat belian.

Pada 12.30 tengah hari ini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.61 mata kepada 1,714.38 berbanding 1,727.99 pada Jumaat.

Selepas dibuka 8.2 mata lebih rendah kepada 1,719.79, indeks itu berlegar antara 1,714.21 dan 1,721.39 sepanjang sesi dagangan pagi. Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 453 berbanding 195 dengan 317 kaunter tidak berubah, 758 tidak berubah manakala 10 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 964.54 juta saham bernilai RM566.35 juta.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut kira-kira 4.5 peratus kepada US$41.17 manakala minyak mentah Amerika Syarikat merosot kira-kira 4.9 peratus kepada AS$38.40.

Sementara itu, HLIB Research menjangkakan indeks itu mencecah sekitar 1,700 dan 1,730 sepanjang minggu ini menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 26-27 April serta selepas mesyuarat bagi membekukan pengeluaran minyak semalam, berakhir tanpa membuahkan sebarang hasil.

"Kami mengunjurkan berlakunya jurang dalam indeks utama tempatan berikutan kejatuhan harga minyak," katanya dalam satu nota penyelidikannya, hari ini.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.15, TNB jatuh enam sen kepada RM14.34, Public Bank merosot lapan sen kepada RM19.12 manakala IHH tidak berubah pada RM6.68.

Saham paling rugi adalah MISC yang jatuh dua sen kepada RM8.80 disusuli Comintel yang turun 2.5 sen kepada 73.5 sen manakala Lien Hoe menambah setengah sen kepada 25.5 sen.

Kaunter paling untung adalah Ajinomoto yang menokok 22 sen kepada RM9, MSM Malaysia naik 13 sen kepada RM4.85 manakala Hong Leong Industries menambah 10 sen kepada RM6.80.

Bagi saham aktif, AirAsia X menokok setengah sen kepada 35 sen, Eka Noodles susut satu sen kepada 14 sen manakala AirAsia turun enam sen kepada RM2.07.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 84.83 mata kepada 11,912.24, Indeks FBMT100 merosot 85.44 mata kepada 11,607.77 manakala Indeks FBM Emas Syariah jatuh 78.22 mata kepada 12,461.53.

FBM70 turun 73.29 mata kepada 13,252.75 dan FBM Ace susut 15.15 mata kepada 5,707.27. Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 102.11 mata kepada 14,932.59, Indeks Perladangan merosot 15.47 mata kepada 7,769.78 dan Indeks Perusahaan jatuh 33.04 mata kepada 3,257.93. - BERNAMA

Berita Harian X