Khamis, 28 April 2016 | 7:08pm

Celcom perkenal pakej prabayar baharu, Magic Reload

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd memperkenalkan Magic Reload oleh Xpax baharu, penawaran pakej prabayar pertama tahun ini yang menawarkan pelanggan dengan penyambungan dan pengalaman mudah alih lebih hebat pada harga begitu kompetitif.

Magic Reload baharu menawarkan antaranya, pilihan pelan internet bersesuaian, panggilan tanpa had, Yonder Music tanpa had, dan membolehkan pengguna membawa ke hadapan separuh daripada baki internet asas yang tidak digunakan.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly di sini, hari ini. Yang hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Magic Reload dipasarkan dalam lima saiz iaitu S, M, L, XL dan 2XL.

Saiz S menawarkan 1GB internet pada harga RM8 yang boleh digunakan pada bila-bila masa untuk sehari. Ia sesuai bagi mereka yang memerlukan penyambungan internet jangka pendek, khususnya ketika kecemasan.

Saiz M menawarkan 1GB internet pada bila-bila masa dalam seminggu, ditawarkan pada harga RM18, manakala saiz L menawarkan 4GB untuk sebulan pada harga RM38, yang mana 2GB daripadanya diperuntukkan bagi kegunaan hujung minggu.

Saiz XL pula menawarkan 5GB internet pada harga RM48 sebulan, yang mana 3GB bagi hari biasa manakala 2GB untuk hujung minggu.

Penawaran terakhir ialah saiz 2XL dengan 7GB pada harga RM68 sebulan, dengan mana 5GB diperuntukkan pada hari biasa dan 2GB untuk hujung minggu.

Zalman Aefendy berkata, semua saiz menawarkan panggilan suara tanpa had ke talian Celcom lain dan akses kepada Yonder Music tanpa had.

"Selain itu, khusus bagi saiz XL dan 2XL, tambahan panggilan suara percuma ke talian selain Celcom ditawarkan," katanya.

Bagi saiz XL, panggilan percuma 30 minit diberikan, manakala 60 minit untuk saiz 2XL.

Internet yang tidak digunakan pula boleh dibawa ke hadapan separuh daripadanya, sementara Internet Burung Hantu boleh dinikmati sebagai tambahan pada harga RM5 bagi 10GB.

Bagaimanapun, SMS dikenakan caj berasingan mengikut asas penggunaan iaitu 12 sen bagi setiap kiriman SMS.

Bersama-sama penawaran terbaru itu, pelanggan Celcom Axiata masih mendapat akses kepada internet asas percuma bagi perkhidmatan mesej asas seperti WhatsApp, WeChat dan Facebook Messenger.

Berita Harian X