Ahad, 8 Mei 2016 | 5:39pm

Khalid al-Falih Menteri Tenaga Arab Saudi

KHALID al-Falih dilantik Menteri Tenaga Arab Saudi yang baharu. - Foto AFP
KHALID al-Falih dilantik Menteri Tenaga Arab Saudi yang baharu. - Foto AFP

DUBAI: Arab Saudi, pengeluar minyak terbesar dunia, melantik Khalid al-Falih, pengerusi gergasi minyak negara itu Aramco, sebagai Menteri Tenaga yang baharu, menggantikan Ali al-Naimi yang menjawat jawatan itu sejak 1995.

Perintah yang diumumkan stesen televisyen rasmi negara menyatakan menteri petroleum itu kini dinamakan sebagai Kementerian Tenaga, Industri dan Sumber Mineral dan Falih akan melepaskan jawatan lamanya sebagai menteri kesihatan.

Riyadh pada 2014 memperkenalkan strategi minyak baharu yang mempertahankan penguasaannya dan membenarkan bahan api murah untuk mengimbangi pasaran tanpa pengurangan bekalan, tidak kira berapa rendah harganya jatuh.

Perlantikan Falih dilihat akan mengukuhkan lagi strategi itu berbanding menerajui sebarang perubahan, kata penganalisis Saudi.

"Perlantikan Falih sudah dijangka sejak beberapa lama dulu," kata Perunding tenaga Saudi, Saddad al-Hosseini. Beliau memiliki pengalaman industri dan eksekutif menerajui penstrukturan semula sektor tenaga dan elektrik."

Falih sudah beberapa tahun dipertimbangkan sebagai pengganti yang tepat bagi Naimi yang turut menjawat jawatan menteri bahan api itu selepas menerajui Aramco

Selepas menamatkan pengajian pada 1982 dalam kejuruteraan mekanikal di Texas A&M University, Falih berkhidmat selama 30 tahun di Aramco, yang mana beliau dilantik sebagai ketua Eksekutif pada 2009 sehingga dinamakan sebagai pengerusi tahun lalu.

Beliau adalah seorang daripada tokoh penting di Saudi yang dipantau rapat oleh pelabur dan penganalisis untuk mendapatkan sebarang petunjuk hala tuju ditetapkan kerajaan itu.

Naimi yang berusia 80 pada Ogos, memulakan kerjaya beliau seawal usia 12 tahun sebagai 'budak pejabat' di Aramco, dan berakhir sebagai salah seorang penjawat jawatan tertinggi negara itu yang bukan dalam kalangan kerabat.

Beliau juga menjadi penasihat kepada Mahkamah Diraja, berdasarkan perintah yang diumumkan itu.

Naimi sentiasa menggunakan kelebihan kewangan Saudi dan skala bekalan minyak negara itu untuk meningkatkan persaingannya daripada pengeluar yang memiliki kos lebih tinggi ketika kegawatan berlaku.

Beliau juga membantu menerajui OPEC melalui ketidakstabilan politik yang berlaku di negara ahli termasuk Iraq dan Libya, dan ketika sekatan terhadap Iran.

Berita Harian X