X
Selasa, 7 Jun 2016 | 4:14pm

Kerajaan komited pastikan hutang tak lebih 55 peratus KDNK

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memastikan kedudukan hutang tidak melebihi paras berhemat 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini, artikel yang disiarkan oleh Nikkei Asian Review pada 3 Jun 2016 berkaitan kedudukan hutang negara didapati tidak berasas.

"Hingga akhir 2015, hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir mencatat RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada KDNK.

"Daripada jumlah ini, 97 peratus adalah hutang domestik manakala bakinya adalah hutang luar pesisir. Oleh itu, pendedahan terhadap risiko pertukaran mata wang asing adalah rendah," katanya.

Katanya, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada sekitar 53 peratus daripada KDNK pada tahun ini berikutan langkah pengukuhan fiskal yang berterusan dan pindahan sebahagian hutang berkaitan skim pinjaman perumahan penjawat awam kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Menurut kementerian itu, kerajaan juga akan sentiasa memastikan keperluan pembiayaan dan obligasi bayaran khidmat hutang dilaksanakan pada kos yang minimum.

"Defisit Kerajaan Persekutuan pada tahun 2015 mencatat 3.2 peratus daripada KDNK dan dijangka terus berkurangan kepada 3.1 peratus pada tahun 2016.

"Selain mengurangkan paras defisit secara berperingkat, langkah konsolidasi fiskal akan turut mengurangkan paras hutang. Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai bajet berimbang pada tahun 2020," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X