Jumaat, 10 Jun 2016 | 5:29pm

LPPSA umum program sukuk pertama bernilai RM25b

PENGERUSI LPPSA, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Syamsi Suhaimi
PENGERUSI LPPSA, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Syamsi Suhaimi

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) mengumumkan program sukuk pertamanya bernilai RM25 bilion, terdiri daripada Program Kertas Komersial Islamik (ICP) dan bon Nota Jangka Sederhana Konvensional (MTN).

Dana daripada program sukuk berkenaan akan digunakan oleh LPPSA untuk membiayai pinjaman perumahan kepada kakitangan awam dan terbitan itu disokong oleh jaminan daripada kerajaan.

Empat bank dipilih sebagai Pengatur Bersama Utama bagi program sukuk dan bon itu iaitu AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd serta RHB Investment Bhd.

LPPSA juga telah melantik tiga bank sebagai Pengurus Utama Bersama iaitu Affin Hwang Investment Bank Bhd, Bank Islam Malaysia dan OCBC Bank (Malaysia) Bhd.

Pengerusi LPPSA, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata LPPSA menyasarkan nilai terbitan antara RM7 bilion hingga RM10 bilion tahun ini, manakala terbitan pertama dijangka seawal Julai ini.

Program ICP dan MTN secara rasminya diadakan melalui majlis menandatangani perjanjian di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Norsimah Ab Wahab dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.

LPPSA mengambil alih fungsi Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan bermula 1 Januari lalu.

Berita Harian X