X
Jumaat, 10 Jun 2016 | 6:45pm
MOHD Irwan (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran dan pemeteraian perjanjian terbitan program sukuk serta bon bernilai RM25 bilion di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Ghazali Kori
MOHD Irwan (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran dan pemeteraian perjanjian terbitan program sukuk serta bon bernilai RM25 bilion di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Hutang kerajaan dijangka berkurangan dua peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan pengurangan kira-kira dua peratus hutangnya menerusi pemindahan liabiliti berjumlah RM21.9 bilion daripada Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPSSA).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, berkata langkah itu mampu mengurangkan bebanan hutang kerajaan daripada 54.5 peratus kepada sekitar 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Ia terutama disokong langkah konsolidasi fiskal yang berterusan dan pindahan sebahagian hutang berkaitan pinjaman perumahan penjawat awam kepada LPSSA, yang baharu ditubuhkan pada 1 Januari lalu.

"Apabila berada di bawah kerajaan (semasa BPA), ia adalah sebahagian daripada liabiliti kontinjen kerajaan. Namun dengan penubuhan LPPSA, entiti itu akan membayar hutangnya sendiri dan ini tidak akan termasuk di dalam perbelanjaan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran dan pemeteraian perjanjian terbitan program sukuk serta bon bernilai RM25 bilion di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Norsimah Ab Wahab.

Menerusi BPA, sejumlah 30,000 permohonan pinjaman perumahan diluluskan setahun dengan nilai pinjaman antara RM120,000 hingga RM160,000 bagi setiap pemohon.

Pada majlis itu, LPPSA mengumumkan penerbitan program sukuk serta bon berjumlah RM25 bilion bagi Program Kertas Komersial Islam/Nota Jangka Sederhana Islam (ICP/IMTN) dan Kertas Komersial Konvensional/Nota Jangka Sederhana (CP/MTN).

Mohd Irwan yang juga Pengerusi LPPSA berkata, agensi itu mempunyai aliran kewangan yang mantap daripada BPP, hasil aliran tunai daripada pemotongan gaji penjawat awam.

Mengulas pelancaran ICP/IMTN dan CP/MTN, katanya, dana daripada program sukuk dan bon berkenaan akan digunakan bagi pinjaman perumahan kakitangan awam dan terbitannya disokong oleh jaminan kerajaan.

"Terbitan sebanyak RM25 bilion itu untuk tempoh tiga tahun dan bagi tahun ini, LPPSA menyasarkan nilai terbitan antara RM7 bilion hingga RM10 bilion," katanya sambil menambah bon terbitan pertama dijangka ditawarkan seawal bulan depan.

Info:

  • LPPSA adalah badan berkanun yang bertanggungjawab mentadbir dan menguruskan pinjaman perumahan untuk penjawat awam di sektor awam.
  • Hingga akhir 2015, hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir berjumlah RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada KDNK.
Berita Harian X