Isnin, 18 Julai 2016 | 1:11pm

Super Group pilih Malaysia hab prinsipal

JOHOR BAHRU: Super Group Ltd, pengeluar makanan dan minuman segera bersepadu berpangkalan di Singapura, menubuhkan Hab Prinsipal (HP) di negara ini, sekali gus membuktikan Malaysia kekal destinasi pilihan utama pelabur asing di rantau ini.

Menerusi pelaburan itu, Super Group Malaysia bakal menjadi pusat serantau bagi pemerolehan dan pengedaran untuk segmen perniagaan bahan makanan kumpulan.

Pengarah Eksekutif Super Group, Darren Teo, berkata 85 peratus daripada pengeluaran produk di kilangnya di Permas Jaya di sini, akan dieksport dan langkah itu dijangka menyumbang lebih RM826 juta kepada eksport negara menjelang tahun 2018.

Katanya, Malaysia berperanan penting terhadap pertumbuhan kumpulan itu sejak diwujudkan pada 1998, yang mana setakat ini Super Group sudah melabur kira-kira RM500 juta bagi kemudahan di kawasan seluas 16 hektar di Johor.

"Malaysia menjadi pilihan penubuhan hab ini kerana ia menempatkan pengeluaran utama serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kumpulan, selain menjadi kilang pengeluaran kopi segera terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti tahunan 20,000 tan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman penubuhan HP Super Group di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, serta Pengerusi dan Pengarah Urusan Super Group Ltd, David Teo.

Mengenai pemilihan Malaysia sebagai HP, Darren berkata, kerjasama, keterbukaan dan sokongan kukuh kerajaan menjadi antara faktor utama pertimbangan Super Group.

Sementara itu, Azman berkata, MIDA sudah meluluskan 15 projek HP dengan pelaburan bernilai RM8.69 bilion sejak inisiatif itu diperkenalkan Mei tahun lalu.

Katanya, ia membabitkan syarikat pelbagai industri termasuk aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E), minyak dan gas, kejuruteraan dan industri berasaskan sumber.

Berita Harian X