Isnin, 25 Julai 2016 | 6:37pm

Bank Islam kekal sasaran pertumbuhan pembiayaan tahun ini

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd tidak bercadang menyemak semula sasaran pertumbuhan pembiayaannya bagi tahun ini susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR), baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin, berkata berdasarkan prestasi semasa, bank berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan yang ditetapkan tahun ini.

Beliau berkata, Bank Islam mengunjurkan pertumbuhan sederhana bagi pembiayaannya tahun ini di sebalik persekitaran pasaran yang mencabar.

"Kami melihat langkah mengurangkan OPR akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga akan mengurangkan bayaran ansuran bulanan (pembiayaan) pelanggan sedia ada.

"Ini sekali gus membantu meningkatkan pendapatan boleh guna mereka," katanya mengulas mengenai kesan pengurangan OPR terhadap pertumbuhan pembiayaan Bank Islam tahun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai perjanjian pembiayaan berjumlah RM15.5 juta bagi pembangunan tanah wakaf dengan Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Khairul menambah, dari segi pembiayaan tidak berbayar (NPL), tidak ada sebarang peningkatan mengejutkan dicatatkan, sebaliknya menyaksikan pengurangan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihaknya dijangka mengumumkan mengenai semakan semula Kadar Pembiayaan Asas (BFR) minggu ini.

Pada 13 Julai lalu, Bank Negara melalui mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengumumkan pengurangan OPR sebanyak 0.25 mata asas kepada 3.00 peratus bagi memastikan ekonomi negara berada di landasan pertumbuhan yang kukuh.

OPR berada pada 3.25 peratus sejak kali terakhir ia disemak semula pada 10 Julai 2014. Ia juga adalah kali pertama OPR diturunkan sejak 2009.

Menurut Bank Negara, keputusan itu dibuat apabila ekonomi global terus mencatat kadar pertumbuhan yang lebih sederhana, melangkaui ekonomi maju utama dan ekonomi sedang pesat membangun.

Sementara itu, Bank Islam juga turut mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri semalam, dengan lebih 1,500 tetamu menghadirinya.

INFO

* Bank Islam adalah anak syarikat kepada BIMB Holdings Bhd

* Ditubuhkan pada 1983 sebagai Bank Islam pertama di Malaysia

* Kini mempunyai 145 cawangan, lebih 1,200 terminal layan diri di seluruh negara

Berita Harian X