Isnin, 22 Ogos 2016 | 5:53pm

Untung bersih separuh pertama PETRONAS merosot

PENGERUSI Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan (tengah), bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkeflee Wan Ariffin (dua dari kiri), Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Datuk George Ratilal (kiri), Timbalan Presiden Eksekutif dan Pegawai Eksekutif Huluan, Md Arif Mahmood (dua, kanan), dan Timbalan Presiden eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hiliran, Datuk Mohd Anuar Taib, ketika pengumuman keputusan kewangan kumpulan Petronas suku tahun ke dua tahun kewangan 2016 di Dewan Utama Persidangan, Menara Berkembar KLCC, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali\

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih RM17.7 bilion bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2016, susut 27 peratus berbanding RM24.4 bilion, yang direkodkan sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan syarikat minyak dan gas negara itu di antara Januari hingga Jun lalu merosot 23 peratus kepada RM97.6 bilion, berbanding RM127.5 bilion yang diraihnya sepanjang tempoh sama 2015.

Keuntungan bersih PETRONAS bagi suku kedua 2016 pula merosot 26 peratus kepada RM9.3 bilion berbanding RM12.6 bilion, yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya pada suku kedua 2016 jatuh 21 peratus daripada RM12.6 bilion pada suku kedua 2015 kepada RM9.3 bilion.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi PETRONAS bagi enam bulan pertama tahun ini adalah RM25.6 bilion, susut 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk George Ratilal, berkata penurunan prestasi pada tempoh dikaji adalah disebabkan purata harga lebih rendah bagi semua produk susulan arah aliran kemerosotan penanda aras utama iaitu minyak mentah Brent dan Japan Customs Cleared (JCC).

Katanya, ia turut diburukkan oleh jumlah jualan lebih rendah minyak mentah, gas diproses dan produk petroleum.

"Penurunan, bagaimanapun sebahagiannya diimbangi oleh kesan tukaran asing ringgit yang lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan separuh pertama PETRONAS, di sini, sebentar tadi.

INFO

Jumlah aset semasa PETRONAS: RM567.5 bilion

Berita Harian X