Khamis, 8 September 2016 | 4:31pm

Kediaman di Kuala Lumpur tidak mencukupi - REHDA

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan (tengah) bergambar dengan para pemenang Pertandingan Fotografi Dewan Bandaraya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bandaraya Mampan Bertaraf Dunia 2016 di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini. Turut bergambar ialah Pengerusi persidangan itu, Chan Kin Meng (empat dari kiri). - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan (tengah) bergambar dengan para pemenang Pertandingan Fotografi Dewan Bandaraya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bandaraya Mampan Bertaraf Dunia 2016 di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini. Turut bergambar ialah Pengerusi persidangan itu, Chan Kin Meng (empat dari kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kaji selidik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapati masih terdapat kekurangan bekalan unit kediaman di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Timbalan Pengerusinya, Chan Kin Meng, berkata data dikumpulkan REHDA menunjukkan Kuala Lumpur dan kawasan sekitar dianggarkan memerlukan purata 150,000 unit kediaman setahun bagi memenuhi keperluan permintaan unit kediaman di ibu negara tetapi purata jumlah unit yang ditawarkan kepada pengguna setiap tahun hanyalah sekitar 100,000 unit.

"Sehubungan itu terdapat kekurangan sekitar 50,000 unit setahun," katanya pada sidang media di Persidangan Antarabangsa Bandar Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2016 kali kelapan yang diadakan Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung data dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Naib Presiden REHDA, Datuk Wan Hashimi Albakri.

Menurut laporan NAPIC, kelembapan pasaran hartanah tempatan menjadi semakin ketara apabila unit tidak terjual dalam kedua-dua segmen kediaman dan komersial mencatat peningkatan 16 peratus pada suku pertama 2016.

Menurut NAPIC, 18,908 daripada 81,894 unit kediaman dan komersial yang dilancarkan pada separuh pertama 2016 masih belum dijual.

Hartanah belum terjual itu bernilai RM9.4 bilion mewakili peningkatan 15.9 peratus daripada nilai unit tidak terjual pada suku keempat 2015.

Laporan NAPIC bagi suku pertama 2016 itu menunjukkan kebanyakan unit kediaman, iaitu sebanyak 11,542, yang dilancarkan itu ditawarkan pada harga antara RM500,001 dan RM1,000,000 seunit.

Kos sara hidup yang meningkat, kuasa membeli yang tidak lagi kuat mencorakkan perbelanjaan pengguna yang semakin berhemah dan berhati-hati.

Data NAPIC menunjukkan pelancaran unit terbanyak dalam suku dikaji ialah di Johor dan pada masa sama negeri itu juga mencatat unit tidak terjual terbanyak.

Kin Meng berkata, laporan terkini berhubung pasaran hartanah tempatan akan dikeluarkan REHDA tidak lama lagi.

Sementara itu, Wan Hashimi yang juga adalah Ketua Pelaburan Hartanah dan Pengurusan Aset Sime Darby Property Bhd, berpandangan permintaan terhadap hartanah tempatan masih tinggi tetapi kemudahan mendapatkan pinjaman ketika ini mencabar kerana bank-bank mengambil langkah berhati-hati sebelum meluluskan pinjaman.

Beliau berkata, berikutan setiap bank memiliki kekukuhan kewangan berbeza, adalah wajar bagi kerajaan membenarkan bank membuat kriteria pinjaman tersendiri berdasarkan kemampuan masing-masing bagi memudahkan pinjaman diluluskan.

Berita Harian X