Jumaat, 14 Oktober 2016 | 3:49pm

Malaysia jadi pilihan dana pelaburan Hong Kong

DARI kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFV Consultants Group Sdn Bhd, Louis Loh, Pengerusi Kumpulan Evergreen, davy Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Evergreen, Eric Chu dan Pengarah Evergreen Offshore Inc, Danni Wong pada sidang akhbar Asia Pacific One Belt One Road Tourism Industry Fund. - Foto Surianie Mohd Hanif
DARI kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFV Consultants Group Sdn Bhd, Louis Loh, Pengerusi Kumpulan Evergreen, davy Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Evergreen, Eric Chu dan Pengarah Evergreen Offshore Inc, Danni Wong pada sidang akhbar Asia Pacific One Belt One Road Tourism Industry Fund. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Firma berpangkalan di Hong Kong, Evergreen Offshore Inc, melancarkan dana bernilai HK$10 bilion (RM5 bilion), Asia Pacific One Belt One Road Tourism Industry Fund, yang menyasarkan sektor pelancongan di Malaysia.

Dana ekuiti persendirian yang diperkenalkan bagi meraih peluang daripada hubungan dagangan kukuh antara Malaysia dan China, Evergreen menyasar untuk mengukuhkan lagi hubungan berkenaan dengan melabur di dalam sektor pelancongan negara ini bagi mendapatkan pulangan jangka panjang.

Ia menyasar untuk melabur dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun, dengan menjangka untuk menjana pulangan kira-kira lapan peratus setahun.

Pengerusi Evergreen Group, Davy Chan, berkata keputusan untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan pertama dana berkenaan adalah disebabkan pertumbuhan kukuh yang sudah terbukti sektor pelancongan di negara ini di samping rancangan kerajaan untuk meningkatkan pelaburan di dalam industri terbabit.

"Melalui rakan usaha sama di Malaysia serta kajian kami sendiri, difahamkan kerajaan Malaysia akan menambah pelaburan di dalam industri pelancongan," katanya dalam satu taklimat media di sini, sebentar tadi.

Dana berkenaan mendapat suntikan kewangan daripada China Development Bank menerusi inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan (OBOR) kerajaan China dan juga kira-kira 1,000 pelabur individu berprofil tinggi dari Hong Kong dan China.

Sektor pelancongan adalah sumber pendapatan tukaran asing ketiga terbesar Malaysia yang ketika ini mencecah RM61 bilion.

Selain Malaysia, dana berkenaan juga akan melabur di Thailand dan Vietnam selepas ini.

Ia memperuntukkan RM1 bilion untuk sektor pelancongan di negara ini.

Berita Harian X