Khamis, 27 Oktober 2016 | 3:12pm

Mercedes Benz Malaysia lancar tiga varian baharu SUV

 MERCEDES Benz Malaysia memperkenalkan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah baharu iaitu GLC 250 4MATIC Coupe, GLS 400 4MATIC dan G-Class (Mercedes-AMG G 63). - Foto Yazit Razali
MERCEDES Benz Malaysia memperkenalkan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah baharu iaitu GLC 250 4MATIC Coupe, GLS 400 4MATIC dan G-Class (Mercedes-AMG G 63). - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Mercedes Benz Malaysia memperkenalkan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah baharu iaitu GLC 250 4MATIC Coupe, GLS 400 4MATIC dan G-Class (Mercedes-AMG G 63) untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju segmen SUV premium di negara ini.

Naib Presiden Jualan & Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes Benz Malaysia, Mark Raine, berkata pengenalan tambahan tiga varian SUV itu bertujuan mentakrifkan semula standard segmen SUV premium tempatan yang mana setiap kenderaan terbabit menawarkan pilihan menarik untuk melengkapi gaya hidup unik pelanggannya di Malaysia.

"Ia menggabungkan keselesaan memandu serta pengendalian dinamik yang hebat dan jitu bagi menyediakan pelanggan kami dengan kenderaan untuk dibanggakan," katanya pada majlis pelancaran ketiga-tiga model SUV berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

GLC 250 4MATIC Coupe dengan enjin berkuasa 1,991 cc adalah SUV Coupe saiz pertengahan yang menampilkan reka luaran dengan gaya AMG Line, manakala bahagian dalamnya menampilkan kemasan kulit ARTICO, pedal sports AMG, karpet lantai dengan sulaman perkataan AMG dan stereng sports AMG.

Ia ditawarkan pada harga atas jalan beserta Cukai barang Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak termasuk insurans RM423,888 dan RM428,888 (dengan Sistem Bunyi Sekeliling Burmestar).

GLS 400 4MATIC pula yang disifatkan model S-Class dalam kalangan SUV dengan tujuh tempat duduk, menawarkan ruang yang luas dan selesa dengan pelbagai ciri kenderaan mewah.

SUV itu yang dikuasakan enjin 2,996 cc biturbo V6 suntikan terus berupaya menghasilkan kuasa 245 KW (333 hp) dan 480 Nm tork pada 1,600 rpm.

Ia ditawarkan pada harga atas jalan beserta GST tidak termasuk insurans bermula dari RM888,888.

Sementara itu, G-Class yang disifatkan model teratas dalam kalangan kenderaan mewah untuk merentas desa turut ditawarkan oleh Mercedes Benz Malaysia dengan memperkenalkan model terbaharu, Mercedes-AMG G 63.

Model itu itu yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 1979 telah melalui proses evolusi mengejutkan dan Mercedes-AMG G 63 dikuasakan enjin 5.5 liter V8 BITURBO yang mampu menghamburkan kuasa 420 kW (571 hp).

Dilengkapi dengan sistem transmisi automatik AMG SPEEDSHIFT PLUS 7G-TRONIC, ia mampu memecut dari pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 5.4 saat.

Ia ditawarkan pada harga harga atas jalan beserta GST tidak termasuk insurans pada harga kira-kira RM1,181,888.

Berita Harian X