Khamis, 10 November 2016 | 11:50am

Saham global, Asia kembali melonjak

SYDNEY: Saham Asia melantun semula pagi ini dan Dolar Amerika Syarikat (AS) mengukuh selepas pasaran global kembali ceria apabila pulih daripada kejutan kemenangan Donald Trump dalam pemilihan Presiden AS semalam.

Prestasi itu sekali gus menjadi petunjuk utama untuk menolak aset lindung nilai keluar daripada pilihan pelabur dan pengambilan risiko kembali menjadi minat utama.

Penganalisis masih bingung dengan lantunan semula yang ketara dicetuskan pasaran global selepas pasaran Asia pada awalnya memberi kesan berbeza dengan kemenangan persaingan ke Rumah Putih.

Kebangkitan yang mengagumkan terutama dalam pilihan pelabur terhadap aset berisiko kini menolak saham dan hasil perbendaharaan ke tahap lebih tinggi," kata Pakar Ekonomi Westpac, Imre Speizer.

"Pasaran seperti kembali menilai prospek ekonomi yang akan diterajui tokoh korporat Trump, yang diyakini bakal membawa pertumbuhan dan inflasi ke paras lebih tinggi," katanya.

Beliau meyakinkan penanda aras utama inflasi pasaran bagi 10 tahun dijangka melonjak ke paras 16 bulan tertinggi kepada 1.87 peratus.

Dolar AS mula menghentikan kerugiannya dan kembali bangkit daripada paras terendah 101.19 yen kepada sehingga 105.83 dalam tempoh semalaman, satu petunjuk jelas kelegaan pengeksport Jepun ketika ini.

Nikkei melantun semula daripada paras kerugian lima peratus pada Rabu dengan melantun semula naik enam peratus.

Indeks MSCI bagi Asia-Pasifik selain Jepun menambah 0.7 peratus manakala saham Australia melonjak tiga peratus sekali gus mencatatkan kenaikan terbesar sehari sejak 2011.

Hasil Perbendaharaan AS bagi tempoh 10 tahun melantun semula daripada kejatuhan semalam sebanyak 1.716 peratus untuk melonjak 2.09 peratus paras tertinggi sejak Januari.

Nilai asas bersih bagi 21 mata asas turut mencatatkan kenaikan harian terbesar sejak Julai 2013.

Pelabur turut menilai semula prospek kenaikan kadar faedah AS yang dijangka akan diteruskan pada Disember oleh Rizab Persekutuan (Fed) dengan kebarangkalian 80 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

Indeks utama Dow melonjak 1.4 peratus manakala S&P 500 dan Nasdaq masing-masing menambah 1.11 peratus.

Jumlah dagangan adalah terbesar sejak Jun walaupun Britain sebelum ini turut mengejutkan pelabur dengan undian keluar daripada kesatuan Eropah.

Penarafan antarabangsa S&P Global kemudian turut mengesahkan kedudukan AA+ kepada AS namun dengan peringatan ketidaktentuan dalam kerajaan masa depan pimpinan Trump akan menjejaskan sebarang peluang untuk dinaiktaraf. - REUTERS

Berita Harian X