Khamis, 24 November 2016 | 7:01pm

Saham KL ditutup rendah

SUMBER bursamalaysia.com
SUMBER bursamalaysia.com

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini daripada kenaikan semalam berikutan aktiviti pengambilan untung apabila peniaga kekal berhati-hati dengan penurunan sedikit harga minyak.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.17 mata atau 0.37 peratus kepada 1,624.21, selepas turun naik antara 1,623.61 dan 1,629.88 sepanjang hari dagangan.

Indeks Komposit turun 1.01 mata untuk ditutup kepada 1,629.37.

Suasana pasaran negatif dengan 452 kaunter rugi berbanding 302 kaunter untung, manakala 344 kaunter tidak berubah, 633 tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 1.3 bilion saham bernilai RM1.27 bilion daripada 1.56 bilion saham bernilai RM1.83 bilion semalam.

Peniaga berkata, bursa tempatan dipengaruhi aliran pasaran global apabila peniaga enggan mengambil risiko berikutan ketidakpastian tentang rancangan pengurangan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

"Kebanyakan pasaran saham Asia jatuh pada Khamis ekoran perkembangan terkini dari AS, termasuk data ekonomi positif dan kenaikan dolar, yang boleh menjadi petunjuk jelas semakan semula kadar faedah AS pada Disember," katanya.

Minyak mentah Brent jatuh 0.35 peratus kepada AS$48.95 setong.

Di kalangan kaunter berkaitan indeks, TNB, Sime Darby, Maxis dan Petronas Gas susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM14.18, RM8.04, RM5.78 dan RM21.44, Maybank naik dua sen kepada RM7.70, Public Bank tidak berubah pada RM19.56 dan Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM6.85.

Kaunter rugi diterajui BAT, yang susut 64 sen kepada RM43.86, Nestle turun 50 sen kepada RM77.0, Panasonic jatuh 42 sen kepada RM35.48, Dutch Lady berkurangan 26 sen kepada RM56.24, dan Lafarge susut 24 sen kepada RM7.56.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 51.97 mata kepada 11,411.91, Indeks FBMT100 susut 51.55 mata kepada 11,128.92, FBM 70 berkurangan 94.70 mata kepada 13,184.22, FBM Ace jatuh 41.54 mata kepada 4,926.11, dan Indeks FBM Emas Syariah turun 63.89 mata kepada 11,995.66.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 3.03 mata kepada 14,151.23, Indeks Perusahaan susut 11.89 mata kepada 3,068.08, manakala Indeks Perladangan menokok 10.89 mata kepada 7,690.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 881.19 juta unit bernilai RM1.19 bilion berbanding satu bilion unit bernilai RM1.74 bilion semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 183.82 juta saham bernilai RM38.18 juta daripada 248.77 juta saham bernilai RM38.71 juta sebelumnya.

Waran susut kepada 234.87 juta unit bernilai RM45.02 juta daripada 300.04 juta unit bernilai RM43.59 juta semalam.

Barangan pengguna menyumbang 34.04 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (131.42 juta), pembinaan (56.82 juta), perdagangan dan perkhidmatan (400.95 juta), teknologi (73.05 juta), prasarana (8.66 juta), SPAC (50.01 juta), kewangan (36.68 juta), hotel (198,200) hartanah (32.41 juta), perladangan (51.87 juta), perlombongan (nil), REITs (4.99 juta), dan dana tertutup (85,000). - BERNAMA

Berita Harian X