Isnin, 5 Disember 2016 | 6:51pm

Dana pelaburan swasta Cradle naik kepada RM190.2j

KETUA Pegawai Eksekutif, Nazrin Hassan (empat dari kiri) bergambar bersama orang ramai pada majlis pemeteraian dengan enam lagi rakan kongsi pelaburan bersama di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail
KETUA Pegawai Eksekutif, Nazrin Hassan (empat dari kiri) bergambar bersama orang ramai pada majlis pemeteraian dengan enam lagi rakan kongsi pelaburan bersama di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd berada dalam kedudukan baik bagi memacu lebih banyak penyertaan pelaburan swasta bagi merangsang ekosistem untuk syarikat teknologi baharu bermula di Malaysia dengan dana pelaburan bersama RM190.2 juta, naik daripada RM161.2 juta setakat Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nazrin Hassan, berkata program pelaburan bersama adalah satu daripada usaha syarikat itu bagi membantu mengurangkan pergantungan syarikat berkaitan kerajaan kepada pembiayaan kerajaan.

"Sejak pengenalan program pelaburan bersama pada 2014, empat syarikat sudah mendapat pembiayaan melalui inisiatif ini dengan pelaburan RM6.08 juta," katanya pada majlis pemeteraian dengan enam lagi rakan kongsi pelaburan bersama di sini, hari ini.

Di bawah program itu, Cradle akan menyalurkan 50 peratus daripada peruntukan pembiayaan kepada inisiatif pelaburan bersama dan selebihnya melalui geran langsung menjelang 2017 dan mengurangkan lagi peruntukan itu kepada 70:30 menjelang 2018, kata Nazrin.

Cradle hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan RHL Ventures, TinkBig Venture, Biz Angel Network, EIX Group, Segnel Ventures dan PlatCom Ventures, yang akan mengambil bahagian bagi membiayai syarikat baharu bermula di Malaysia berjumlah RM14.5 juta.

Dengan rakan kongsi baharu terbabit, jumlah rakan kongsi meningkat kepada 32 dengan dana berjumlah RM190.2 juta.

Nazrin berkata, aktiviti pelaburan adalah lembap tahun ini dengan jangkaan kemerosotan pelaburan serantau yang akan menjejaskan pelaburan dalam syarikat baharu bermula Malaysia kerana pelabur mengambil sikap berhati-hati.

Dengan kelembapan itu, beliau berkata, Cradle memberi tumpuan menangani masalah terbabit dan meneroka cara untuk menggalak pelaburan dalam syarikat baru bermula bagi membantu merangsang ekosistem.

Ia termasuk kepelbagaian dalam kitaran pelaburan bersama daripada pemodal, pelabur institusi dan pengendali platform ekuiti pendanaan orang ramai (ECF), katanya.

Beliau berkata, pengenalan platform alternatif untuk syarikat baharu bermula bagi mengumpul pembiayaan seperti ECF serta pembiayaan budiman kena pada masanya dan membantu mengurangkan kesannya.

Menurutnya, dengan mempunyai rakan kongsi dengan pelbagai latar belakang memberikan kelebihan dan peluang besar kepada Cradle untuk belajar dan memanfaatkan pengalaman mereka bagi pandangan tambahan dalam melabur dalam syarikat baru bermula.

Nazrin berkata, mulai tahun depan, Cradle juga akan memperkenal pelaburan ekuiti langsung sebagai langkah lebih jauh daripada peranan pelabur bersama ketika ini.

"Ini adalah satu daripada cara untuk meneroka penyelesaian lain bagi menggalak pelaburan dalam syarikat baru bermula di Malaysia.

"Ia bukan sahaja memberi peluang kepada kami untuk mengikut perjanjian pelaburan bersama ini, tetapi kami juga akan menerajui secara langsung pusingan pembiayaan ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X