Sabtu, 14 Januari 2017 | 9:05pm

Unit Bank Negara kurangkan bilangan pemegang lesen MSB

PENGARAH Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang Bank Negara Malaysia (BNM), Nik Mohamed Din Nik Musa. - Foto Saddam Yusoff
PENGARAH Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang Bank Negara Malaysia (BNM), Nik Mohamed Din Nik Musa. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya mengurangkan bilangan pemegang lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang (MSB) daripada 1,000 pada 2012 kepada 354 pada 2016.

MSB, yang terdiri daripada pengiriman wang, pengurupan wang serta perniagaan mata wang borong, dikawal selia oleh Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011, adalah pembawa perubahan yang memberikan kuasa kepada bank pusat untuk memperkemaskan industri.

Pengarah jabatan itu, Nik Mohamed Din Nik Musa, berkata ia memberikan peluang kepada BNM untuk menyusun semula lesen kepada keseluruhan industri.

Hanya pihak yang mempunyai keupayaan dengan tadbir urus baik, sistem dan rekod perniagaan yang baik dibenarkan untuk beroperasi, katanya.

Nik Mohamed Din berkata, langkah itu diperlukan untuk membendung pengusaha yang tidak menjalankan perniagaan dengan cara yang betul, kerana pengurangan bilangan pemegang lesen sebahagiannya adalah disebabkan persaingan sengit, keperluan untuk memodenkan perniagaan dan meraih lebih banyak keuntungan modal.

"Ia adalah untuk mereka yang perniagaan agak kecil dan tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing, membuat keputusan menjadi ejen," katanya kepada pemberita di luar acara 'Karnival Kewangan 2017', di sini, hari ini.

Nik Mohamed Din berkata, sistem perkhidmatan wang yang sah dan terjamin dicerminkan menerusi pertumbuhan saluran MSB yang dibenarkan.

"Dari 2012 hingga 2015, industri mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam perkhidmatan pengiriman dan pengurupan wang, dengan purata masing-masing pada 23.8 peratus dan 14 peratus setahun," katanya.

Industri juga mencatatkan pengembangan dua kali ganda dalam capaian perkhidmatan perniagaan wang, dengan cawangan dan ejen syarikat MSB berlesen meningkat daripada 1,437 pada 2012 kepada 2,570 pada 2016.

Sementara itu, syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengiriman wang secara mudah alih dan/atau dalam talian juga meningkat daripada empat syarikat pada 2012 kepada 10 syarikat pada 2016.

Pada masa hadapan, Nik Mohamed Din berkata, keutamaan MSB adalah untuk memacu inisiatif e-pengiriman wang dengan memanfaatkan teknologi kewangan dan inovasi pengawalan di bawah teknologi kawal selia.

"MSB juga akan menumpukan kepada mengukuhkan rangka kerja perundangan dan penguatkuasaan bagi membolehkan BNM melaksanakan tindakan undang-undang dengan lebih cepat dan efektif, menggalakkan budaya pematuhan yang lebih teguh dan menggunakan analisis data untuk menyokong aktiviti pengawasan dan pemerhatian," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X