Isnin, 16 Januari 2017 | 10:17pm

Singapura dijangka tumpuan IPO tahun ini

SINGAPURA: Singapura dijangka menjadi lokasi tumpuan di Asia Tenggara bagi menjana modal menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun ini.

Bursa saham Singapura ketika ini mempromosikannya sebagai pusat bagi perniagaan amanah dan amanah pelaburan hartanah (REIT), yang menawarkan dividen stabil.

Keadaan itu membantu mengimbangi sebahagian kejatuhan dalam jualan saham utama berikutan firma besar China memihak kepada nilai yang lebih tinggi dan kecairan di Hong Kong.

Aktiviti meraih dana menerusi IPO di Singapura mencecah AS$1.7 bilion (RM7.58 bilion) tahun lalu, meningkat lima kali ganda dari 2015 apabila ia merosot ke paras terendah sejak 1998, demikian mengikut perangkaan Thomson Reuters.

"REIT dan amanah perniagaan menjadi pilihan untuk beberapa waktu kerana ia memberi aliran pendapatan yang stabil bagi pelabur dan lazimnya permainan di Singapura lebih tertumpu kepada dividen berbanding keuntungan modal tulen," kata Pengarah Urusan Duff & Phelps Singapura, Srividya Gopalakrishnan.

Dasin Runcit Trust, yang terdiri daripada tiga pusat beli-belah di bandar raya Zhongshan di Wilayah Guangdong, China melaksanakan IPO berjumlah S$146 juta (RM455 juta) bulan ini.

Bank juga mengharapkan Singapore Telecommunications Ltd menyenaraikan unit jalur lebarnya, Netlink Trust pada separuh kedua tahun ini, dalam satu janji niaga yang menjana kira-kira AS$2.5 bilion (RM11.14 bilion). - Reuters

Berita Harian X