Rabu, 18 Januari 2017 | 4:30pm

Pengawal selia Hong Kong saman Standard Chartered, UBS

HONG KONG: Pengawal selia pasaran saham Hong Kong memfailkan saman terhadap Standard Chartered dan UBS berserta firma perunding, KPMG mengenai tawaran awam permulaan (IPO) pada 2009.

Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFC) Hong Kong memfailkan dokumen kepada Mahkamah Tinggi yang mendakwa "salah laku pasaran" berkaitan IPO China Forestry Holdings bernilai AS$217 juta (RM964 juta) dan penyata kewangan firma itu bagi 2009 sehingga separuh pertama 2010.

SURUHANJAYA Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFC) Hong Kong.
SURUHANJAYA Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFC) Hong Kong.

Bank yang berpangkalan di London, Standard Chartered, menyatakan pada November lalu bahawa pihak berkuasa melihat kepada tatacaranya serta menaja secara bersama penyenaraian pada 2009.

Tuntutan itu adalah yang terkini dalam rentetan masalah undang-undang bagi bank berkenaan yang membayar AS$667 juta (RM2.97 bilion) pada 2012 untuk menyelesaikan caj melanggar sekatan Amerika Syarikat (AS) dengan mengendalikan ribuan urus niaga membabitkan Iran, Myanmar, Libya dan Sudan.

Bank gergasi Switzerland, UBS juga menyatakan pada Oktober bahawa ia boleh dikenakan denda dan penggantungan menaja IPO di Hong Kong yang disenaraikan di bandaraya itu.

SFC, dalam tuntutan mahkamah, juga menyaman China Forestry, bekas Pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Dagangan saham China Forestry Holdings digantung sejak 2011 dan ia dalam proses untuk dikeluarkan dari senarai bursa Hong Kong.

Dalam kenyataan terkininya kepada bursa saham pada Ogos lalu, firma itu menyatakan juruauditnya sudah mengenal pasti penyelewengan yang mungkin berlaku semasa proses audit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Hong Kong adalah pasaran kedua terbesar bagi penyenaraian baharu tahun lalu dengan tawaran AS$25.2 bilion (RM112 bilion). - AFP

Berita Harian X