Khamis, 19 Januari 2017 | 6:10pm

Dolar AS naik, peniaga Asia tunggu ucapan Trump

PEMANGKU Peguam Negara, Sally Yates. - Foto Reuters
PEMANGKU Peguam Negara, Sally Yates. - Foto Reuters

HONG KONG: Dolar Amerika Syarikat (AS) mencatatkan rali berbanding mata wang berhasil tinggi dan mengukuhkan peningkatannya berbanding mata wang utama lain hari ini berikutan peniaga mengambil ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Janet Yellen sebagai petunjuk bahawa kadar AS akan meningkat lagi tahun ini.

Kelemahan yen membantu saham Jepun menerajui peningkatan pasaran Asia berikutan dorongan daripada kenyataan Yellen mengenai ekonomi tetapi peniaga masih berhati-hati susulan permulaan tugas Donald Trump esok.

Dalam tempoh dua bulan selepas Trump memenangi Pilihan Raya AS, dolar AS meningkat berbanding semua mata wang lain dengan jangkaan pelan perbelanjaan besar-besaran dan pengurangan cukai akan merangsang pertumbuhan, menaikkan inflasi dan mendesak Fed menaikkan kadar pinjaman.

Bagaimanapun, peningkatan ketidaktentuan dalam tempoh dua minggu lalu yang semakin teruk susulan kekurangan maklumat terperinci dasar daripada Presiden yang baharu terpilih itu, mendorong pelabur mengurangkan pegangan dalam unit itu sehingga mereka melihat pelan yang kukuh.

Bagaimanapun, Yellen memberi dorongan baharu kepada dolar AS semalam dengan ucapannya yang mengatakan ekonomi AS menepati matlamat inflasi dan pekerjaan bank pusat.

Dolar AS tidak berubah berbanding yen, euro dan pound sehari selepas meningkat sekitar satu peratus.

Bagaimanapun, ia melonjak hampir satu peratus berbanding won, 0.4 peratus berbanding dolar Australia dan 1.3 peratus berbanding dolar Kanada.

Ringgit jatuh 0.1 peratus dan juga rupiah.

Di pasaran ekuiti, Indeks Nikkei Tokyo ditutup 0.9 peratus lebih tinggi berikutan pengeksport disokong oleh kelemahan yen.

Sydney naik 0.2 peratus sementara Seoul meningkat 0.1 peratus sementara Singapura, Jakarta, Manila dan Mumbai juga mencatatkan peningkatan.

Namun, Hong Kong jatuh 0.2 peratus dan Shanghai ditutup rendah 0.4 peratus.

Pelabur menunggu ucapan Trump dengan harapan beliau akan mengumumkan sesuatu mengenai janji kempennya meskipun terdapat kebimbangan di kalangan pasaran Asia mengenai retorik perlindungan perdagangan.

Pada awal dagangan Eropah, London tidak berubah, Frankfurt naik 0.2 peratus dan Paris tambah 0.1 peratus. - AFP

Berita Harian X