Khamis, 19 Januari 2017 | 9:32pm

Bank Pusat Eropah kekal kadar faedah rendah

FRANKFURT: Bank Pusat Eropah (ECB) mengekalkan kadar faedah serta tidak mengubah program pembelian bon secara besar-besaran hari ini.

Ia berikutan pasaran menunggu Presiden ECB, Mario Draghi bagi petunjuk bila bank pusat itu akan memulakan pengurangan rangsangan dalam berdepan peningkatan inflasi.

Jurucakapnya berkata, majlis pentadbiran bank itu mengundi untuk mengekalkan penanda aras kadar pembiayaan semula pada paras peratusan sifar.

Ia juga mengekalkan kadar kemudahan pembiayaan marginal tidak berubah pada 0.25 peratus dan kadar kemudahan deposit stabil pada paras -0.40 peratus.

"Majlis pentadbiran terus menjangka kadar faedah ECB utama kekal pada paras sekarang atau paras rendah untuk tempoh masa yang panjang," kata ECB dalam satu kenyataan.

Seperti yang dijangka, pembuat dasar juga tidak membuat sebarang perubahan kepada skim pembelian aset bank itu, yang dikenali sebagai pelonggaran kuantitatif (QE), selepas hanya mengumumkan lanjutan program itu pada mesyuarat bulan lalu. - AFP

Berita Harian X