Isnin, 20 Februari 2017 | 5:59pm

PNB, KWSP pelabur utama IPO EWI

DATUK Teow Leong Seng. - Foto Muhammad Sulaiman
DATUK Teow Leong Seng. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LUMPUR: Eco World International Bhd (EWI) dijangka memuktamadkan pelaksanaan tawaran awam permulaannya (IPO) dalam tempoh dua bulan.

Ini susulan termeterainya tiga perjanjian utama yang mana turut menyaksikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebagai pelabur utamanya.

Presiden yang juga Ketua Eksekutifnya, Datuk Teow Leong Seng berkata, perjanjian pertama membabitkan langganan saham dengan GuocoLand Limited (GuocoLand).

"Menerusi perjanjian itu, GuocoLand bersetuju untuk membeli 27 peratus kepentingan strategik dalam modal terbitan dan modal berbayar yang dibesarkan EWI mengikut terma dan syarat.

"Selain itu, EWI juga menandatangani Perjanjian Taja Jamin Runcit dengan enam bank yang mana CIMB Investment Bank Bhd (CIMB), Maybank Investment Bank Bhd (Maybank) dan Hong Leong Investment Bank Bhd bertindak sebagai pengurus taja jamin bersama manakala tiga bank lagi iaitu Alliance Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd sebagai penaja jamin bersama.

"Seterusnya, EWI memeterai Perjanjian Penempatan Pelabur Induk Utama dengan Koordinator Global Bersama, CIMB dan Maybank serta KWSP dan PNB sebagai pelabur utama.

"Berdasarkan perjanjian, kedua-dua pelabur utama telah bersetuju untuk melanggan 140.4 juta saham IPO yang mewakili lebih 30 peratus daripada saham IPO yang diperuntukkan untuk tawaran institusi dan ia tertakluk kepada terma dan syarat," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian itu di Kuala Lumpur.

Pemeteraian perjanjian berkenaan akan disusuli oleh penerbitan prospektus EWI yang dijangka berlaku pada Mac ini. Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi Eco World Bhd (EW Bhd), Tan Sri Liew Kee Sin.

Mengulas mengenai perkembangan IPO, Teow berkata, berikutan pemeteraian tiga perjanjian utama itu, pihaknya yakin ia adalah permulaan yang baik untuk IPO EWI.

Sementara itu, Liew berkata pihaknya menghargai persetujuan yang diberikan oleh KWSP dan PNB untuk menjadi pelabur utama dalam IPO EWI.

"KWSP telah menjadi pemegang saham institusi yang kukuh serta rakan kerjasama EW Bhd sejak awal lagi dan kami mungkin tidak dapat pergi sejauh ini tanpa sokongan mereka," katanya.

INFO:

*Antara projek yang sedang dijalankan oleh EWI pada masa ini termasuklah di London dan Australia.

Berita Harian X