Rabu, 1 March 2017 | 9:36pm

MAHB umum perubahan pengurusan ISG

PENGARAH Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PENGARAH Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

ISTANBUL: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pemilik Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) mengumumkan perubahan pengurusan lapangan terbang itu selain peletakan jawatan Ketua Eksekutif ISG, Gokhan Bugday.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata selari dengan rancangan untuk menukar perniagaannya yang kini memasuki fasa baharu pembangunan dan pertumbuhan, MAHB melihat keperluan untuk bertukar kepada perspektif yang lebih global.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MAHB berbesar hati atas sumbangan Bugday terhadap pertumbuhan ISG dalam tempoh lapan tahun lalu.

"ISG yang terletak dalam lokasi unik di antara empat bandar paling maju di Turki dan mempunyai potensi pertumbuhan yang besar akan terus menjadi aset utama bagi strategi pengembangan antarabangsa kami.

Dengan sokongan daripada pelaburan terbaharu dan akan datang, kami jangka ISG bukan hanya menjadi penyumbang utama kepada kemapanan kumpulan tetapi juga menambah nilai kepada ekonomi Turki," katanya.

Katanya, MAHB percaya lokasi strategik ISG yang menghubungkan benua Asia dan Eropah membolehkannya berkembang dan mengendalikan lebih 30 juta penumpang pada tahun 2016.

"Tambahan pula lapangan terbang itu turut menerima kehadiran syarikat penerbangan baharu seperti Emirates, Etihad dan Nile Air selain destinasi baharu yang dilancarkan oleh Turkish Airlines dan Pegasus.

"Bagi memastikan pertumbuhan ISG, kami juga melabur dalam kemudahan pemindahan penumpang antara ruang domestik dan juga antarabangsa.

"Selain itu, kami juga merancang untuk menambah kapasiti ISG dengan membina dewan pelepasan baharu untuk memenuhi jumlah penumpang domestik yang semakin meningkat," katanya.

Dalam tempoh beberapa dekad lalu, MAHB berjaya membina reputasi sebagai perniagaan lapangan terbang bertaraf dunia.

Kini, sebagai satu daripada kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia berdasarkan jumlah penumpang, syarikat itu berhasrat untuk menjadi peneraju global dalam mencipta lapangan terbang bandar.

Katanya, menjadi peneraju global dalam penciptaan lapangan terbang bandar akan membawa syarikat itu ke peringkat seterusnya selaras dengan evolusi dan aliran lapangan terbang lain di seluruh dunia.

Berita Harian X