Khamis, 16 March 2017 | 1:22pm

MDEC rekod pelaburan baharu RM16.3b pada 2016

KETUA Pegawai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood. - Foto Supian Ahmad
KETUA Pegawai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merekodkan pelaburan baharu bernilai RM16.3 bilion tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yasmin Mahmood, berkata daripada jumlah itu, RM6.43 bilion adalah pelabur baharu, dan juga rekod untuk tahun kedua-dua berturut-turut.

Beliau berkata, sejumlah RM9.84 bilion daripada pelabur sedia ada juga adalah angka yang baik walaupun kedudukan ekonomi yang mencabar.

"Kami bangga ke atas pencapaian tahun lepas. Strategi kami untuk mendorong ekonomi digital sudah membuahkan hasil dan kami menyaksikan tahun yang positif dan sihat daripada syarikat berstatus MSC di Malaysia dengan rekod pelaburan baharu dan kukuh selain daripada pelabur baharu," katanya pada taklimat media mengenai prestasi MDEC 2016 di sini, hari ini.

Yasmin berkata, jualan eksport daripada syarikat MSC Malaysia juga meningkat 18 peratus kepada RM19.1 bilion berbanding RM16.2 bilion pada 2015, dengan kelompok Kandungan Kreatif dan Teknologi (CCT) mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak RM1.17 bilion.

"Pertumbuhan positif dalam semua kelompok ini sangat menggalakkan. Bukan sahaja kelompok CCT melebihi RM1 bilion, pertumbuhan Infotech juga melepasi Perkhidmatan Perniagaan Global pada tahap 26 peratus, sumbangan tertinggi setakat ini," katanya.

Beliau berkata meskipun keadaan ekonomi yang tidak menentu, 2016 menyaksikan peningkatan pelaburan sepuluh kali ganda dalam bidang fokus, termasuk e-Dagang, Internet segala-galanya (ToT), Pusat Awan dan Data, Analitis Data Raya dan Keselamatan, yang menyumbang RM3.7 bilion kepada jumlah jualan eksport tahun lalu.

Ia adalah peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding 2015.

Mengenai prospek 2017, Yasmin berkata tahun ini digelar 'Tahun Ekonomi Internet', dan MDEC akan terus memacu ekonomi digital yang mampan berasaskan industri IT tempatan yang cergas.

"Ini dilakukan dengan menyesuaikan dan mempelbagaikan pusat siber MSC Malaysia menerusi penubuhan hab Digital baharu.

"Ia bertujuan untuk mengoptimumkan lokasi bagi menarik dan mengekalkan ekosistem syarikat permulaan dengan penawaran infrastruktur perlu seperti jalur lebar berkelajuan tinggi bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi Internet," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X