Khamis, 23 March 2017 | 6:17pm

Asas ekonomi kukuh beri kekuatan kepada Malaysia - BNM

BANK Negara Malaysia (BNM). - Foto Asyraf Hamzah
BANK Negara Malaysia (BNM). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Asas ekonomi negara yang secara keseluruhan kukuh telah memberi Malaysia kekuatan untuk berhadapan cabaran dari dalam dan luar negara, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Laporan Tahunan 2016 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata sumber pertumbuhan ekonomi negara yang pelbagai telah membantu untuk membendung kesan limpahan yang berpunca daripada kejutan di sektor tertentu.

"Keadaan pasaran pekerja yang stabil dalam keadaan pertumbuhan upah yang berterusan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

"Institusi kewangan yang kukuh dengan mudah tunai dalam negara yang lebih daripada mencukupi turut memastikan pengantaraan kewangan dapat berjalan dengan lancar," kata BNM.

Bank pusat berkata kedudukan luaran Malaysia kekal kukuh, disokong oleh rizab antarabangsa yang lebih daripada mencukupi dan paras hutang luar negara yang terurus walaupun permintaan global lemah.

Sementara itu, tindak balas dasar monetari yang sesuai dan tepat pada masanya serta beberapa langkah bersasaran yang menyokong pertumbuhan, memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu.

Pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh BNM turut disokong oleh beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan menyokong aktiviti sektor perniagaan.

Ini termasuk beberapa dasar untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi sebuah ekonomi perkongsian untuk berkembang maju dan pengurangan untuk tempoh sementara bahagian pekerja dalam caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Langkah lain termasuk pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih tinggi dan insentif cukai untuk merangsang kegiatan perniagaan, terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, BNM berkata pembaharuan kritikal dan pelarasan struktur menjadi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus mapan.

Ini kerana cabaran yang mungkin timbul berikutan trend global dan dalam negara seperti bertambahnya penduduk yang semakin berusia, kemasukan teknologi baharu dan peningkatan produktiviti yang lebih perlahan.

Antara usaha diambil ialah meningkatkan daya saing eksport, membuat pelaburan berterusan untuk menambah baik infrastruktur fizikal dan maya, serta dasar untuk membangunkan tenaga kerja berkualiti tinggi melalui peningkatan kualiti sistem pendidikan negara, kata bank pusat itu.

Pada 2016, ekonomi Malaysia meningkat 4.2 peratus berbanding 5.0 peratus pada 2015 meskipun berhadapan rintangan yang besar dari dalam dan luar negara. - BERNAMA

Berita Harian X