Selasa, 28 March 2017 | 3:00pm
KERAJAAN Arab Saudi mengurangkan cukai pendapatan yang perlu dibayar pengeluar minyak terkemuka negara itu, Saudi Aramco. - Foto hiasan
KERAJAAN Arab Saudi mengurangkan cukai pendapatan yang perlu dibayar pengeluar minyak terkemuka negara itu, Saudi Aramco. - Foto hiasan

Arab Saudi kurangkan 50 peratus cukai Aramco

JEDDAH/RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengurangkan cukai pendapatan yang perlu dibayar pengeluar minyak terkemuka negara itu, Saudi Aramco, bagi melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat berkenaan tahun depan.

Perintah diraja itu dengan tarikh kuat kuasa yang diundurkan kepada 1 Januari 2017, menetapkan kadar cukai sebanyak 50 peratus bagi firma itu.

Sebelum ini, Aramco membayar 85 peratus cukai dan 20 peratus royalti yang dikenakan pada peringkat yang berbeza.

Perintah itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai royalti.

Langkah itu dilihat untuk mengurangkan beban cukai Aramco sebanyak berbilion dolar, yang menjadikannya lebih menarik kepada pelabur swasta.

Pihak berkuasa Arab Saudi sudah mempertimbangkan perubahan itu beberapa bulan lalu, kata sumber kepada Reuters.

"Perintah diraja adalah peristiwa penting dalam menetapkan peringkat bagi IPO terbesar di dunia itu. Saya pasti akan ada lebih banyak langkah selanjutnya beberapa minggu dan bulan akan datang," kata eksekutif industri minyak.

Pegawai Arab Saudi menjangkakan IPO itu akan menilai syarikat pada paras AS$2 trilion atau lebih.

Kebanyakan penganalisis swasta pula skeptikal, dengan mengunjurkan di bawah AS$1 trilion, tetapi kadar cukai 50 peratus akan menjadikan tawaran menghampiri paras AS$2 trilion.

"Langkah ini memberi manfaat strategik bagi Arab Saudi, rakyat dan generasi akan datang," kata Menteri Kewangannya, Mohammed al-Jadaan dalam satu kenyataan mengenai pengurangan cukai itu.

Sebagai pembekal minyak mentah terbesar ke China, Arab Saudi cuba untuk menarik syarikat minyak China sebagai pelabur IPO.

Sinopec Corp berkata, presiden Aramco sudah melawat firma itu dan kedua-dua pihak berunding mengenai IPO berkenaan.

"Mereka (Aramco) percaya China adalah pasaran yang besar. China menarik mereka sebagai pemacu utama bagi pertumbuhan permintaan minyak dan gas.

"Mereka berharap membabitkan kami dalam rundingan IPO," kata Pengerusi Sinopec Corp, Wang Yupu, pada taklimat perolehan syarikat itu di Hong Kong, semalam.

"Bagi langkah selanjutnya, kami akan memperkukuhkan lagi komunikasi dan kerjasama kami," katanya.

Kerajaan Arab Saudi, yang berusaha untuk mengatasi defisit bajet berikutan harga minyak yang murah berjumlah AS$79 bilion tahun lalu, mendapat lebih 60 peratus pendapatannya daripada minyak, jadi perubahan cukai boleh menjejaskan kewangannya.

Bagaimanapun, penganalisis berkata, langkah itu mungkin tidak memberi kesan besar memandangkan hasil cukai dijangka digantikan dengan pembayaran dividen daripada Aramco.

Firma itu tidak mendedahkan dasar dividen selepas IPO. - Reuters

Berita Harian X