Jumaat, 31 March 2017 | 1:02pm

SME Bank Mini XCESS permudahkan pembiayaan

KOTA KINABALU: SME Bank terus mempermudahkan permohonan pembiayaan kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi penganjuran SME Bank Mini XCESS 2017 Pusat Wilayah Sabah.

Melalui program berkenaan, SME Bank menyasar untuk meluluskan pembiayaan bernilai RM60 juta kepada syarikat yang layak bagi mengembangkan operasi perniagaan mereka.

Mini XCESS SME Bank adalah program tahunan yang diadakan bertujuan membolehkan usahawan dan SME Bank untuk berinteraksi secara terus dan bersemuka.

DATUK Mohd Radzif Mohd Yunus. - Foto Yazit Razali
DATUK Mohd Radzif Mohd Yunus. - Foto Yazit Razali

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata program yang diadakan secara tahunan itu adalah satu daripada usaha untuk menangani masalah kesukaran untuk mendapat bantuan pembiayaan.

"Maklum balas daripada usahawan PKS setakat ini sangat positif. Kami bertemu lebih 1,500 usahawan dan Kota Kinabalu adalah destinasi kedua terakhir bagi siri pertama program ini dan ia akan berakhir di Bintulu, Sarawak pada 11 April ini.

"Wilayah Sabah adalah antara kawasan tumpuan kami dan sejak cawangan di Kota Kinabalu dan Tawau ditubuhkan, kami meluluskan lebih RM1.7 bilion pembiayaan dan membantu seramai 1,727 pelanggan.

"Untuk tahun ini, kami menyasar kelulusan pembiayaan RM176 juta kepada usahawan PKS di Wilayah Sabah ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program Mini XCESS 2017 dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban.

Mohd Radzif berkata, kelulusan pembiayaan yang dicatat itu menunjukkan wujud kerancakan ekonomi di Sabah yang memberi peluang usahawan PKS dan ekosistem mengembangkan perniagaan mereka.

"Tiga penyumbang utama kepada ekonomi Sabah ialah sektor perkhidmatan sebanyak 40.5 peratus, perlombongan dan kuari sebanyak 25.7 peratus dan sektor pertanian sebanyak 22.5 peratus," katanya.

Pusat Wilayah Sabah SME Bank beroperasi dengan tiga cawangan iaitu Pusat Enterpris Kota Kinabalu, Pusat Enterpris Tawau dan UTC Kota Kinabalu.

Berita Harian X