X
Jumaat, 14 April 2017 | 12:23pm

MINI Countryman baharu dari RM239,888 seunit

MINI Cooper S Countryman.
MINI Cooper S Countryman.

KUALA LUMPUR: MINI Malaysia sebentar tadi melancarkan generasi ke-2 MINI Countryman baharu di pasaran Malaysia.

Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) premium itu didatangkan dalam dua varian, MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Han Sang Yun, berkata model paling besar serta versatil dalam sejarah 57 tahun MINI itu dibina bagi menampilkan kemajuan dari segi ruang, fungsi, gaya atletik dan karekteristik premium MINI.

Beliau berkata, saiz MINI Countryman serba baharu itu dipertingkatkan, tetapi masih mampu mengekalkan perkadaran tipikal sebuah MINI.

"Jentera itu kini 20 sentimeter lebih panjang dan tiga sentimeter lebih lebar berbanding model terdahulu," katanya pada majlis pelancaran SAV baharu itu, di sini.

MINI Countryman serba baharu itu hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama 4 Tahun dan Servis Berjadual Percuma.

Anggaran harga (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah RM239,888 bagi varian MINI Cooper Countryman dan RM269,888 bagi MINI Cooper S Countryman.

Dalam perkembangan berkaitan, Sang Yun berkata, MINI kelihatan semakin berkembang dalam segmen premium di Malaysia.

Beliau berkata, tahun lalu saja, model itu menyumbang lebih 900 unit kepada prestasi jualan MINI Malaysia.

"Ia juga mencatatkan pertumbuhan lebih 19 peratus berbanding tempoh sama 2015. Pada suku pertama 2017, MINI sudah pun menjadi jenama ketiga terbesar dalam segmen premium di Malaysia dan harapan kami ia dapat mengekalkan daya saingnya dalam industri menerusi MINICountryman serba baharu ini," katanya.

Berita Harian X