Selasa, 18 April 2017 | 8:51pm

MIER saran isu pasaran tenaga kerja ditangani

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan mencari kaedah terbaik bagi menangani isu pasaran tenaga kerja, khususnya dari segi pengangguran dan kadar pertumbuhan pendapatan yang tidak sejajar dengan kenaikan harga pengguna.

Ia susulan laporan Kesimpulan Prestasi Ekonomi Negara 2016 yang dikeluarkan institut itu hari ini yang mendapati kadar pengangguran terus meningkat kepada 3.5 peratus tahun lalu, berbanding 3.1 peratus 2015 dan 2.9 peratus pada 2014.

Pengarah Eksekutif MIER, Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih pantas tahun ini pada kadar 4.5 peratus berbanding 4.2 peratus tahun lalu yang mana sebahagian besar pertumbuhan dijana permintaan domestik.

Namun, katanya, data ekonomi mengagumkan itu tidak bermakna jika tidak memberi manfaat kepada rakyat yang diharapkan membantu pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.

"Kerajaan sentiasa mengharapkan rakyat dapat memainkan lebih banyak peranan menerusi perbelanjaan bagi menggalakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi, namun mereka kini berhadapan hutang isi rumah yang tinggi.

"Justeru, perlu ada langkah untuk menyelesaikan, bukan hanya terhadap jumlah pekerjaan, tetapi juga pertumbuhan pendapatan rakyat yang amat perlahan kini," katanya selepas Taklimat Ekonomi Korporat Ke-22 MIER di sini, hari ini.

Sementara itu, Felo Penyelidikan Kanan MIER, Dr Zulkiply Omar berkata, institut itu mengunjurkan ringgit seharusnya berlegar sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) jika berdasarkan sepenuhnya kepada asas kukuh ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan mata wang tempatan itu sejak akhir-akhir ini menyaksikan ia bergerak di luar kebiasaan yang dipercayai dipengaruhi sentimen selain ekonomi Malaysia, termasuk perkembangan domestik, impak polisi kadar faedah AS dan persekitaran global.

"Langkah Bank Negara Malaysia mengetatkan kawalan dagangan kontrak tanpa serahan (NDF) ringgit berhasil mengurangkan ketidaktentuan dalam dagangan ringgit dibuktikan graf pergerakan mata wang itu setakat ini," katanya.

Mengenai penetapan harga runcit minyak, MIER berpendapat mekanisma sistem apungan terkawal atau terurus bagi penentuan harga minyak domestik secara mingguan perlu dikaji kembali selepas beberapa pusingan untuk melihat impak jangka panjang ke atas pengguna.

Zulkiply berkata secara umumnya, mekanisma yang dipacu pergerakan dagangan minyak di pasaran dunia itu lebih baik untuk mengurangkan bebanan subsidi perbelanjaan kerajaan.

"Mekanisme apungan itu masih baru dan sudah tentu pengguna akan merasa impak dia. Namun, untuk jangka panjang saya rasa selepas beberapa pusingan pelaksanaannya kerajaan kena kaji semula," katanya.

Info:

Inti Pati Taklimat Ekonomi Korporat Ke-22 MIER

- Permintaan domestik pacu pertumbuhan 2017

- Perluaskan dasar fiskal untuk lonjakan 2017

- Inflasi tinggi disebabkan perbelanjaan pengguna yang tinggi

- Pelaburan swasta lebih momentum

- Perbelanjaan kerajaan berterusan dalam pembinaan kapasiti

Berita Harian X