Ahad, 23 April 2017 | 8:48pm

Haval Malaysia suntik pelaburan RM2b

AHMAD Azam Sulaiman. - Foto Goh Thean Howe.
AHMAD Azam Sulaiman. - Foto Goh Thean Howe.

SHANGHAI: Go Auto (Haval Malaysia), pengedar kenderaan Haval di Malaysia, memperuntukkan pelaburan sehingga RM2 bilion untuk menjadikan negara ini sebagai hab jenama kenderaan itu di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Azam Sulaiman, berkata pelaburan yang diperuntukkan bagi tempoh lima tahun sehingga 2021 itu, akan digunakan untuk memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia dan negara ASEAN, termasuk dari segi jenama serta kemudahan pengeluaran.

Katanya, pelaburan menerusi dana dalaman dan luaran iaitu daripada syarikat induk Haval, Great Wall Motors (GWM) serta pinjaman bank, bakal membawa jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV) China itu lebih kukuh di rantau ini.

"Kami yang sudah memulakan program pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia pada 2014, kini akan memberi tumpuan kepada pasaran ASEAN lain seperti Batam, Indonesia; Vietnam dan Myanmar tahun ini, selain bercadang memasuki pasaran Filipina dan Laos sedikit masa lagi.

"Semua peruntukan pelaburan akan digunakan untuk meluaskan kemudahan pengeluaran kami di Gurun, Kedah untuk pasaran tempatan dan eksport," katanya kepada media ketika ditemui di Pameran Automotif Shanghai (Auto Shanghai 2017) di sini, baru-baru ini.

Sehingga kini, Haval Malaysia sudah melabur sekitar RM60 hingga RM70 juta untuk kemudahan pengeluaran fasa I di Gurun, selain untuk tujuan memperkukuhkan jenama itu di Malaysia.

Selain Malaysia, Haval Malaysia turut mengeksport kenderaan jenama itu ke Brunei, Kemboja dan Thailand.

Ahmad Azam berkata, kemudahan pengeluaran Haval Fasa II di Gurun yang membabitkan pelaburan RM250 juta, kini giat dibangunkan dan dijangka beroperasi tahun depan atau 2019, sebelum fasa berikutnya dibangunkan.

Katanya, pembangunan kemudahan pengeluaran keseluruhan yang mempunyai mengeluarkan sehingga 100,000 unit kenderaan setahun akan mengukuhkan jenama Haval di Malaysia dan rantau ini.

"Ketika ini, kilang pengeluaran kami menghasilkan model pemasangan tempatan (CKD) iaitu H1 dan model kedua kami H2 pula mulai bulan depan," katanya.

Kilang fasa I milik Haval Malaysia mampu mengeluarkan 24,000 kenderaan setahun, manakala fasa II dan III masing-masing bertambah kepada 50,000 dan 100,000 unit setahun.

Buat masa ini, Haval Malaysia menawarkan dua model SUV iaitu H1 dan H2.

"Pada suku ketiga tahun ini, kami akan memperkenalkan dua model baharu iaitu H6 dan H9 yang masing akan dijual pada harga bermula RM115,000 dan RM140,000.

"Kedua-dua model ini adalah import sepenuhnya (CBU), manakala model CKD pada 2018 atau 2019," kata Ahmad Azam.

Info:

Go Auto (Haval Malaysia)

* Ditubuhkan pada 2013

* Haval H1

- Harga atas jalan termasuk insurans RM61,950 (varian Comfort), RM67,950 (varian Premium) dan RM74,950 (varian Elite)

* Haval H2

- Harga atas jalan termasuk insurans RM89,950 (STD MT), RM98,950 (Comfort AT) dan RM101,950 (Premium AT)

Berita Harian X