Isnin, 1 Mei 2017 | 7:16pm

Pemilihan peguam tepat elak kerugian, penipuan

KUALA LUMPUR: Pemilihan peguam yang berwibawa dalam urusan jual beli hartanah dapat membantu mengelak bakal pembeli hartanah berhadapan risiko kerugian dan penipuan.

Peguam hartanah dari Nazri Azmi Islinda (Peguambela dan Peguamcara), Datuk Nazri Mustafa, berkata tahap kesedaran bakal pembeli berhubung hak mereka dalam urusan jual beli hartanah kini semakin meningkat, namun kesilapan memilih peguam boleh menyebabkan mereka berhadapan risiko kerugian dan penipuan.

"Urusan jual beli hartanah dilihat seperti mudah dan dianggap menjalani proses yang sama, tetapi sebenarnya ia berbeza daripada satu kes ke satu kes.

"Tidak semestinya apa yang dilalui (proses) individu itu akan sama dengan individu lain," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas majlis memperkenalkan barisan penceramah serta ahli panel forum sempena penganjuran Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press Bhd (NSTP).

Nazri adalah antara penceramah yang akan membincangkan beberapa isu mengenai proses perundangan dalam pembelian hartanah dalam Siri Kedua MyRumah 2017 yang diadakan di Komtar JBCC, Johor Bahru bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Beliau berkata, menjadi kewajipan kepada bakal pembeli untuk mengetahui setiap kandungan dokumen yang ditandatangani supaya mereka lebih peka dengan peraturan serta syarat yang ditetapkan.

"Seharusnya pembeli perlu peka dan bertanggungjawab dengan setiap nilai yang dikeluarkan bagi proses mendapatkan hartanah itu," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi seorang lagi penceramah iaitu Pengasas dan Pengarah Urusan Superior Wealth Mastery, Alan Poon yang mengatakan bahawa pengetahuan serta maklumat terperinci dapat membantu pembeli menjadi seorang pelabur yang bijak.

"Maklumat yang dicari perlu menyeluruh termasuk pengetahuan dalam penyewaan hartanah kerana ia turut membantu meningkatkan hasil kepada pelabur," katanya.

Beliau berkata, pemilik hartanah perlu tahu mengenai teknik sewaan hartanah yang betul kerana ia boleh menjana sumber pendapatan yang kukuh pada masa depan.

Penganjuran MyRumah yang memasuki tahun kedua, terus mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk pemaju hartanah, rakan strategik, penceramah, barisan panel serta tidak ketinggalan sokongan kerajaan negeri.

Pameran berkenaan bukan hanya mementingkan jualan unit hartanah, tetapi dijadikan sebagai lokasi rundingan hartanah pilihan pembeli, medium mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan daripada mereka yang pakar serta peluang boleh diterokai dalam sektor berkenaan.

Rakan kongsi rasmi penganjuran terdiri daripada Andaman Group, LePro System Bhd dan Essenso, selain turut mendapat kerjasama daripada syarikat penapis air Cuckoo serta pengendali perkongsian kenderaan, Grab.

Info:

Siri Kedua MyRumah 2017

* 17 peserta pameran

* 7 penceramah terdiri daripada pakar dalam bidang hartanah dan barisan ahli panel

* 10,000 sasaran pengunjung

* RM10 juta sasaran nilai jualan

Berita Harian X