Selasa, 2 Mei 2017 | 8:10am

Saham syarikat AS cecah paras tertinggi

PASARAN saham Amerika Syarikat di Wall Street. - Gambar hiasan
PASARAN saham Amerika Syarikat di Wall Street. - Gambar hiasan

NEW YORK: Saham syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertinggi dalam dagangan di Wall Street semalam dan ia meningkatkan indeks ekuiti di beberapa bandar utama yang lain.

Bagaimanapun, data cari gali AS dan hasil minyak mentah terus meletakkan tekanan ke atas harga minyak.

Saham global didagangkan terhad dengan beberapa pasaran di Eropah dan Amerika Latin ditutup sempena cuti hari Buruh manakala saham Jepun dibuka semalaman semasa minggu dagangan pendek.

Data menunjukkan aktiviti pengeluaran AS perlahan pada bulan April manakala perbelanjaan pengguna tidak berubah pada Mac dan ukuran inflasi utama mencatatkan penurunan pertama bulanan sejak tahun 2001.

Peniaga terus menjangkakan 7/10 peluang bahawa Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedahnya pada Jun ini.

Di Wall Street, Apple dan syarikat teknologi utama yang lain menerajui dagangan dan meletakkan Nasdaq Composite mencecah paras tertinggi.

Apple dijangka melaporkan perolehannya pada hari ini manakala Facebook akan berbuat demikian pada Rabu.

Setakat ini, jangkaan keuntungan pada syarikat S&P 500 dijangka meningkat sebanyak 13.6 peratus dalam suku pertama, yang tertinggi sejak tahun 2011.

Saham lima syarikat AS terbesar berdasarkan modal pasaran iaitu Apple, Aphabet, Microsoft, Amazon dan Facebook ditutup tinggi pada Isnin.

Indeks purata industri, Dow Jones susut 27.05 mata atau 0.13 peratus untuk ditutup kepada 20,913.46, S&P 500 menokok 4.13 mata atau 0.17 peratus kepada 2,388.33 dan Nasdaq Composite meningkat 44.00 mata atau 0.73 peratus kepada 6,091.60. - Reuters

Berita Harian X