Rabu, 3 Mei 2017 | 2:12pm

Lambakan hartanah strata punca rumah tak laku

PETALING JAYA: Kecenderungan pemaju membina projek perumahan strata mewah adalah antara punca peningkatan mendadak unit kediaman siap yang tidak terjual tahun lalu.

Khuzaimah Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif
Khuzaimah Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif

Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Khuzaimah Abdullah, berkata trend terkini menyaksikan rata-rata pemaju gemar membangunkan projek rumah bertingkat mewah sehingga menyebabkan lambakan rumah sedemikian dalam pasaran.

"Projek sedemikian menyaksikan satu blok bangunan mengandungi beberapa ratus unit kediaman, berbanding rumah bertanah yang biasanya tidak banyak unit rumah yang dibina oleh pemaju.

"Itulah sebabnya angka terkumpul bagi unit rumah siap yang tidak terjual semakin besar kerana begitu banyak pembinaan rumah strata," katanya ketika ditemui pada Bengkel Strategi Pemasaran dan Jualan anjuran Institut Pemaju Rumah dan Hartanah Malaysia (Institut REHDA), hari ini.

Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah 2016 JPPH yang dikeluarkan NAPIC baru-baru ini, sebanyak 14,792 unit rumah kediaman siap yang tidak dijual di negara ini tahun lalu yang keseluruhannya berjumlah RM8.56 bilion.

Jumlah itu meningkat 43.8 peratus dari segi jumlah dan 70.7 peratus dari segi nilai, berbanding tahun sebelumnya.

Angka itu jauh mengatasi unit hartanah industri siap yang tidak terjual pada tahun lalu yang berjumlah 842 unit bernilai RM1.12 bilion manakala unit kedai siap tidak terjual pula berjumlah 5,069 unit bernilai RM2.83 bilion.

Khuzaimah berkata, peningkatan mendadak unit rumah siap yang tidak dijual pada tahun lalu adalah perkembangan agak membimbangkan dalam pasaran hartanah tempatan.

"Keadaan itu bermakna ada unit rumah sudah disiapkan namun tidak laku dijual. Ia menunjukkan pemaju sudah membelanjakan sejumlah wang yang besar tetapi tiada pembeli dan bilangannya semakin bertambah," katanya.

Berita Harian X