Jumaat, 12 Mei 2017 | 5:55pm

OPR kekal pada 3.0 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), penanda aras rujukan pinjaman pada 3.0 peratus.

Keputusan itu yang dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, adalah bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang secara mapan.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari adalah akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.

MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bagi Malaysia, BNM berkata, momentum pertumbuhan sejak separuh kedua 2016 dijangka bertambah kukuh pada suku pertama 2017, dan dijangka kekal sepanjang tahun.

"Pertumbuhan ekonomi dijangka dipacu terutamanya oleh aktiviti permintaan dalam negeri, sealiran dengan keadaan pertumbuhan upah dan pekerjaan yang berterusan, serta pelaksanaan projek pelaburan yang sedang dan akan dijalankan.

"Bagi sektor luaran, berikutan pertumbuhan global yang bertambah baik, eksport dijangka berkembang lebih kukuh dan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Bank Negara berkata, kadar inflasi pada keseluruhannya meningkat kepada 4.3 peratus pada suku pertama 2017 sejajar dengan jangkaan MPC.

Kadar inflasi lebih tinggi itu mencerminkan, sebahagian besarnya kesan daripada pindahan kenaikan harga minyak dunia dan gangguan bekalan sementara yang menyebabkan kenaikan harga makanan.

Kadar inflasi lebih tinggi itu, jelasnya, dijangka menurun pada separuh kedua 2017.

"Bagaimanapun, corak aliran kadar inflasi domestik ini akan bergantung pada harga minyak dunia yang sangat tidak menentu.

"Inflasi dorongan kos ini dijangka akan memberikan kesan ketara ke atas corak pergerakan harga yang lebih meluas, memandangkan keadaan permintaan domestik yang stabil.

"Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka hanya meningkat dengan sederhana," katanya.

Mengenai ringgit, Bank Negara berkata, ringgit terus stabil, sementara mudah tunai sistem perbankan kekal mencukupi.

Bank pusat berkata, institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, dan pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah selaras dengan kadar perkembangan aktiviti ekonomi.

Mengenai ekonomi global, Bank Negara berkata, petunjuk ekonomi memberi gambaran bahawa prospek ekonomi global akan terus bertambah baik.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat pelbagai risiko kepada pertumbuhan ekonomi global seperti perlindungan perdagangan, perkembangan geopolitik, dan turun naik harga komoditi. Risiko ini juga boleh mencetuskan semula ketidaktentuan pasaran kewangan.

Berita Harian X