Ahad, 18 Jun 2017 | 2:49pm
RINGGIT dijangka didagangkan dalam kedudukan berhati-hati minggu depan susulan pengukuhan dolar AS. - Foto hiasan
RINGGIT dijangka didagangkan dalam kedudukan berhati-hati minggu depan susulan pengukuhan dolar AS. - Foto hiasan

Peniaga dijangka terus simpan ringgit

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan dalam kedudukan berhati-hati minggu depan susulan pengukuhan dolar AS selepas Rizab Persekutuan (FED) AS menaikkan kadar faedah, selain data pekerjaan yang lebih baik, kata peniaga.

FED menaikkan kadar faedah asas sebanyak 0.25 peratus kepada 1.25 peratus.

Pedagang Kanan OANDA, Stephen Innes, berkata pelabur bagaimanapun kurang yakin ekonomi AS dapat memenuhi sasaran inflasi Fed.

"Oleh itu, saya menjangkakan pedagang akan menjual semula dolar AS minggu depan.

"Bagi ringgit, saya menjangka ia akan terus disimpan memandangkan ringgit yang rendah akan membantu sektor perkilangan terutama industri elektronik," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Mercury Securities Sdn Bhd, Edmund Tham, berkata pelabur dijangka memantau rizab antarabangsa dan kadar inflasi Malaysia yang dijangka diumumkan minggu depan bagi memutuskan tindakan mereka ke atas ringgit.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.2520 dan 4.2770 berbanding dolar AS.

Berasaskan perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit didagangkan rendah kepada 4.2740/2790 berbanding dolar daripada 4.2635/2665 minggu lalu.

Ringgit juga kebanyakannya diniagakan rendah berbanding mata wang utama minggu ini.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0893/0933 daripada 3.0795/0827 Jumaat lepas namun mengukuh berbanding yen kepada yen kepada 3.8394/8442 daripada 3.8615/8653.

Ringgit juga rendah berbanding pound British kepada 5.4549/4617 daripada 5.4291/4351 dan rendah berbanding euro kepada 4.7741/7801 daripada 4.7628/7674 Jumaat lalu. Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti umum Nuzul Al-Quran. - BERNAMA

Berita Harian X