X
Khamis, 22 Jun 2017 | 5:16pm

AirAsia perkenal laluan JB-KT

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (empat kanan) menyambut penumpang penerbangan pertama Air Asia dari Johor Bharu ke Kuala Terengganu dengan menyampaikan cenderahati sambil diiringi oleh CEO Air Asia, Aireen Omar (tiga kanan) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus. -Foto Rozainah Zakaria
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (empat kanan) menyambut penumpang penerbangan pertama Air Asia dari Johor Bharu ke Kuala Terengganu dengan menyampaikan cenderahati sambil diiringi oleh CEO Air Asia, Aireen Omar (tiga kanan) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus. -Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) mensasarkan peningkatan penumpang ke Terengganu sehingga 500,000 tahun ini, dengan pembukaan laluan baharu Johor Bahru - Kuala Terengganu, yang bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Aireen Omar, berkata penerbangan terus Johor Bahru - Kuala Terengganu dengan kekerapan tiga kali seminggu dijadualkan pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu dengan waktu pelepasan jam 1.45 tengah hari dari Johor Bahru, manakala 3.15 petang waktu pelepasan dari Kuala Terengganu ke Johor Bahru.

Beliau berkata, penerbangan yang mengambil masa 55 minit itu adalah laluan domestik kesembilan dari Johor Bahru dan laluan domestik kedua ke Kuala Terengganu selain Kuala Lumpur dan diyakini dapat menambah kemasukan penumpang ke Terengganu berbanding 420,000 pada tahun lalu.

"Kita berharap kerjasama dengan kerajaan Terengganu ini bukan sahaja akan memudahkan warga negeri ini di Johor untuk pulang ke Terengganu, tetapi dapat membantu menonjolkan lagi keunikan dan keindahan destinasi pelancongan di Terengganu terutama sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT2017)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyambut ketibaan lebih 180 penumpang penerbangan sulung Johor Bahru - Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, penerbangan terus Johor Bahru - Kuala Terengganu itu diharap dapat membantu menonjolkan lagi destinasi dan produk pelancongan di Terengganu dengan memberi kemudahan aksesibiliti terutama kepada pelancong serantau termasuk Singapura, selain membantu penjenamaan Terengganu sebagai destinasi pelancongan unggul.

"Selain itu, lebih 3,000 anak Terengganu bekerja di Johor termasuk Pengerang, selain di Singapura dan ini juga akan memudahkan mereka pulang ke kampung dengan masa perjalanan kurang sejam berbanding perjalanan darat antara lapan hingga sembilan jam.

"Ia bukan sahaja akan menggalakkan perkembangan sektor pelancongan terutama dalam membantu kita mencapai sasaran 5.5 juta pelancong tahun ini, tetapi juga memudahkan anak Terengganu di Johor pulang ke kampung," katanya.

Beliau berkata, pemilihan untuk bekerjasama dengan AirAsia adalah sangat tepat kerana statusnya sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia selama sembilan tahun berturut-turut mengikut Skytrax.

Berita Harian X