Khamis, 29 Jun 2017 | 6:48pm

MARA sedia RM30 juta untuk usahawan wanita

KANGAR: MARA akan menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM30 juta bagi memperkasa lebih 1,250 usahawan wanita di bawah skim pembiayaan khas program DanaNita.

Jumlah itu adalah daripada RM35 juta yang diperuntukkan di bawah DanaNita, dana khusus untuk golongan wanita yang berminat menceburi bidang keusahawanan atau perniagaan sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Zulfikri Osman, berkata skim pembiayaan khas itu memfokuskan kepada usahawan wanita berumur 18 hingga 60 tahun dengan had pembiayaan sebanyak RM50,000 berkonsepkan pembiayaan patuh syariah.

Beliau berkata pembiayaan khas berkenaan antara dua skop pembangunan usahawan wanita di bawah program DanaNita itu.

Skop lain memberi fokus kepada latihan dan bimbingan. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan melatih dan membimbing 5,000 usahawan wanita.

"Latihan yang diberikan meliputi aspek pembentukan usahawan, motivasi dan pelan perniagaan kepada mereka yang baru bertatih menjadi usahawan," kata Zulfikri kepada BERNAMA di sini.

Beliau berkata mereka yang telah menjalani kursus dan latihan layak membuat permohonan di bawah program tersebut.

"Program DanaNita ini dilancarkan hasil desakan Pergerakan Wanita Umno pada perhimpunan agung parti itu tahun lalu," kata Zulfikri.

Mengenai Perlis, beliau berkata MARA menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membantu usahawan Perlis menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan tahun ini.

Peruntukan itu termasuk pembiayaan, latihan dan menjalankan aktiviti lain berkaitan keusahawanan, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X