Ahad, 31 Ogos 2014 | 12:58pm
GAMBAR ikonik Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mengangkat tangan melaungkan ayat keramat 'Merdeka' pada 31 Ogos 1957, dilekatkan pada Zeppelin (belon udara) bersama tema kemerdekaan ke-57 ' Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang berada di ruang udara pada acara sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto BERNAMA
GAMBAR ikonik Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mengangkat tangan melaungkan ayat keramat 'Merdeka' pada 31 Ogos 1957, dilekatkan pada Zeppelin (belon udara) bersama tema kemerdekaan ke-57 ' Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang berada di ruang udara pada acara sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto BERNAMA

Hari Kemerdekaan medan menyatukan minda, hati rakyat

Selamat Hari Kemerdekaan ke-57. Apa yang menarik, sambutan kali ini bersamaan dengan tahun kemerdekaan. Angka keramat 57-57 nampak cantik dan menarik.

Tetapi berapa ramai rakyat Malaysia memahami erti angka itu ? Berapa peratus agaknya kelompok generasi Y dan Z memahami erti kemerdekaan? Bagaimana pula dengan generasi yang masih hidup sebelum tarikh kemerdekaan dan peranan kelompok itu pada era moden sekarang.

Soal itu penting dalam peredaran dunia yang semakin kompleks. Lihat negara dunia lain yang masih bergolak akibat peperangan, ketidakstabilan politik dan keselamatan, wabak penyakit, paras kemiskinan yang melampau serta ekonomi yang sekejap naik atau sekejap merudum.

Cuba kita tanya diri sendiri, adakah Malaysia mengalami sedemikian rupa? Amat bertepatan sekali logo dan tema Hari Kemerdekaan Ke-57 tahun ini memperlihatkan slogan 'Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang ada pelbagai maksud tersurat dan tersirat.

Penulis tidak mahu hurai soal itu dengan panjang lebar tetapi hendak tumpukan kepada elemen logo dan tema Hari Kemerdekaan kali ini.

Lazimnya logo dan tema penting untuk sesebuah syarikat, produk, persatuan, pertubuhan, malah sesebuah negara. Malaysia tidak terkecuali. Logo dan tema yang dicipta mempunyai tujuan dan kreatif agar identiti atau imej yang dibawa dapat ditonjolkan dengan jelas, penuh bermakna dan menarik.

Ia penting untuk dijadikan ikon atau simbolik kepada apa jua yang diwakili. Kewibawaan, konsep dan motif yang direncanakan dapat dihayati dengan cepat dan penuh berprestij terhadap golongan sasar.

Atas dasar itu, kerajaan sejak dulu lagi memahami dan peka dalam hal berkenaan dengan menjadikan Hari Kemerdekaan sebagai platform menyatukan minda dan hati rakyat.

Pada hemat penulis, prinsip dan ciri logo serta tema boleh diselarikan dengan sejarah perjuangan kemerdekaan yang perlu mengimbau semula saban tahun, kerana perlakuan ini menjadi asas kesinambungan integriti politik, ekonomi, sosial serta budaya bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Di sini, penulis sertakan tema yang menjadi nadi kepada kerajaan dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

Pada tahun 1970, tema yang dipilih ialah 'Muhibah dan Perpaduan,' diikuti tahun 1971 pula mengambil tema 'Masyarakat Progresif, Masyarakat Adil' (1972); 'Masyarakat Kebudayaan Malaysia' (1973); 'Sains dan Teknologi Alat Perpaduan' (1974); 'Masyarakat Berdikari' (1975); 'Ketahanan Rakyat' (1976); '20 Tahun Bersatu Maju' (1977); 'Kebudayaan Sendi Perpaduan' (1978); 'Bersatu Berdisiplin' (1979); 'Berdisiplin Berbakti' (1980); 'Berdisiplin Berharmoni' (1981); 'Berdisiplin Giat Maju' (1982) dan 'Bersama Ke Arah Kemajuan' (1983).

Tema pada tahun 1984 pula ialah 'Amanah Asas Kejayaan' diikuti 'Nasionalisme Teras Perpaduan' (1985); 'Bangsa Tegas Negara Teguh' (1986); 'Setia Bersatu Berusaha Maju' (1987); 'Bersatu' (1988 dan 1989); 'Berjaya' (1990); 'Wawasan 2020' (1991); 'Wawasan Asas Kejayaan' (1992); 'Bersatu Menuju Wawasan' (1993); 'Nilai Murni Jayakan Wawasan' (1994); 'Jatidiri Penggerak Wawasan' (1995); 'Budaya Penentu Kecapaian' (1996); 'Akhlak Mulia Masyarakat Berjaya' (1997); 'Negara Kita Tanggungjawab Kita' (1998) dan 'Bersatu Ke Alaf Baru' (1999).

Tema sama selama tujuh tahun

Selama tujuh tahun berturut-turut, kerajaan meletakkan tema sama iaitu 'Keranamu Malaysia' bermula tahun 2000 hingga tahun 2006, sebelum tema sambutan Hari Kemerdekaan diberi nafas baharu iaitu 'Malaysiaku Gemilang' pada tahun 2007 dan 'Perpaduan Teras Kejayaan' pada tahun 2008.

Di bawah slogan 1Malaysia pada era awal pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ke-6 memperlihatkan tema Hari Kemerdekaan pada tahun 2009 hingga tahun 2012 berteraskan penyatuan rakyat secara umumnya.

Seperti pada tahun 2009, tema berkisarkan '1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,' diikuti '1Malaysia Menjana Transformasi' (2010); '1Malaysia - Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera' (2011) dan '1Malaysia - Janji Ditepati' (2012).

Pada tahun 2013 dan tahun 2014 pula memperlihatkan tema berkisahkan sayangnya kepada negara buat rakyat dengan menzahirkan tema yang cukup patriotik iaitu 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' dan 'Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.'

Logo pertama pada tahun 1976

Sebenarnya tidak ramai tahu dan menyedari bahawa logo Hari Kemerdekaan hanya mula dicipta pada tahun 1976 dan antara tahun 2009 dan tahun 2012, Malaysia menggunakan satu bentuk logo sama secara berulang-ulang, iaitu simbol 1Malaysia tetapi tema diubah mengikut kesesuaian situasi tahun berkenaan.

Dalam kajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk Implikasi Komunikatif Logo Hari Kemerdekaan yang diterbitkan menerusi Malaysian Journal of Communication mengenal pasti tidak semua negara di dunia ini menggunakan logo sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara masing-masing.

Malaysia adalah antara negara yang melihat logo sebagai satu elemen penting yang dapat memainkan peranan dalam mengajak rakyat supaya lebih menjiwai makna sambutan Hari Kemerdekaan.

Individu yang bertanggungjawab memperkenalkan logo Hari Kemerdekaan ialah Tan Sri (Tun) Mohd Ghazali Shafie pada tahun 1976, yang juga Pengerusi Perayaan Hari Kebangsaan tahun berkenaan.

Susulan tahun berkenaan, logo mula direka cipta oleh sekumpulan pensyarah dan penuntut Institut Teknologi MARA Shah Alam (kini UiTM) sehingga tahun 1988, Tan Sri Sanusi Junid menyarankan supaya pertandingan mencipta logo diadakan untuk mendapatkan karya lebih bermutu, di samping menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kemerdekaan.

Rakyat Malaysia perlu menyedari hasrat murni kerajaan. Malah rakyat hendaklah mengiktiraf logo dan tema Hari Kemerdekaan yang direncanakan saban tahun termasuk memahami mesej yang ingin disampaikan oleh kerajaan. Penulis yakin sebahagian besar rakyat jelata boleh memahami.

Dalam kajian UKM itu ada menyatakan pemahaman rakyat itu menyerlahkan keperibadian rakyat Malaysia dan rakyat bersuara dengan berdialog dengan pemerintah, malah ini adalah ciri penting ke arah pembentukan masyarakat sivil yang efektif. Apabila rakyat mula beri maklum balas, ini bermakna mereka peka dan mengambil berat dalam sesuatu isu.

Penulis berharap penggunaan logo dan tema dapat menzahirkan perubahan persepsi rakyat, apatah lagi membabitkan hubungan masyarakat dan pemerintah sebagai kesatuan yang saling berhubung dan secara tidak langsung meningkatkan kesedaran nasionalisme lebih menyeluruh. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Penulis ialah Penganalisis Sosio Media-Politik dan Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara

Berita Harian X