Sabtu, 16 Ogos 2014 | 10:06pm
Rakyat Malaysia perlu zahirkan kecintaan kepada negara dengan mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara yang berbilang kaum. - Foto hiasan
Rakyat Malaysia perlu zahirkan kecintaan kepada negara dengan mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara yang berbilang kaum. - Foto hiasan

Kemerdekaan: Jangan musnahkan kejayaan dibina bersama

Ogos adalah bulan yang penting dalam kalendar negara kita. Pada 31 Ogos yang akan datang ini, kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57 dan seterusnya meraikan Hari Malaysia pada 16 September.

Sudah tiba masanya sekali lagi untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik untuk berfikir kepentingan 'Merdeka' dan makna di sebaliknya.

Ulang tahun ke-57 ini penting bagi semua rakyat Malaysia untuk menilai semula usaha dan pengorbanan dalam membangunkan negara serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kita.

Walaupun kita hendak mengukuhkan kekuatan, terdapat juga keperluan mengatasi kelemahan kita dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Bukan tugas mudah

Pembangunan negara bukan tugas mudah. Ia adalah proses panjang yang penuh dengan cabaran dan memerlukan kepemimpinan baik serta kuat, kefahaman, kesungguhan, pengorbanan dan komitmen.

Apabila mengimbas kembali, kita banyak mencapai kejayaan dari segi pemodenan, ekonomi, pembangunan sains dan teknologi.

Kita juga mencapai kemajuan yang besar dalam bidang pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pencapaian ini amat membanggakan walaupun ia bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan masa depan dalam merealisasikan wawasan negara.

Walaupun ekonomi dan ICT adalah daya penggerak pada alaf baharu ini dan pada masa akan datang, ia bukan penentu tunggal dalam menyelesaikan masalah kompleks yang semakin meningkat dalam masyarakat berbilang kaum.

Nilai moral kukuh, institusi keluarga yang baik, keadilan sosial, keperluan untuk keharmonian dan perpaduan serta masyarakat penyayang tidak kurang pentingnya dalam memastikan kejayaan negara dan kemapanan masyarakat.

Rakyat perlu membangkitkan nasionalisme dan patriotisme. Tanpanya, negara tidak dapat menjadi kuat, stabil dan makmur.

Perayaan seperti Bulan Merdeka ini dapat menyalakan semula semangat patriotik rakyat Malaysia yang paling penting dalam membina perpaduan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun ini lebih bermakna kerana ia bertemakan 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta'.

Berbeza dengan sambutan lalu dengan tema yang dipilih selalunya dikaitkan dengan kemajuan, pembangunan dan perpaduan, penekanan pada tahun ini adalah pada perkataan cinta.

Mengaitkan istilah cinta kepada negara begitu penting dan bermakna. Semua rakyat Malaysia harus menunjukkan kecintaan serta kasih sayang mereka kepada negara. Kita boleh bermula dengan memberi kasih sayang kepada diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan negara.

Di samping itu, perayaan Merdeka ini harus menjadi kuasa penyatuan yang membawa rakyat pelbagai bangsa bersama dan mempunyai matlamat yang sama demi kejayaan negara.

Sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah menjelajah jauh dan merintis jalan bagi mencapai keharmonian dan perpaduan kaum yang kebanyakan negara lain termasuk negara maju tidak dapat menikmatinya.

Tolak ekstremisme

Marilah kita tidak menjejaskan apa yang telah dicapai setakat ini melalui semangat persefahaman. Kita tidak boleh membenarkan ekstremisme, ketaksuban dan keganasan berlaku dalam apa jua bentuk yang akan membahagikan negara kita yang dikasihi kerana di sinilah tempat lahir kita, rumah kita, tempat kerja dan destinasi terakhir kita.

Rakyat Malaysia akan menyambut satu lagi ulang tahun kemerdekaan tidak lama lagi. Saya ingin menekankan bahawa asas yang membawa kita bersama adalah prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Rukun Negara adalah panduan dalam pembangunan negara dan perlu dihormati semua. Ia visi yang dikongsi demi perpaduan negara. Prinsipnya perlu sentiasa didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang remeh akan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita capai setakat ini.

Ramai orang mengambil mudah perpaduan. Ini bukan perkembangan yang sihat dalam negara yang berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia. Sebaliknya, kita harus terus berusaha memupuk dan mengukuhkan perpaduan negara.

Tan Sri Lee Lam Thye, Ahli Pemenang Amanah Lembaga Yayasan 1 Malaysia.

Berita Harian X