Khamis, 4 September 2014 | 8:46am
Pekebun kecil bakal menikmati harga getah beku lebih baik. - Gambar hiasan
Pekebun kecil bakal menikmati harga getah beku lebih baik. - Gambar hiasan
Douglas Uggah melancarkan Peraturan Lembaga Getah Malaysia
Douglas Uggah melancarkan Peraturan Lembaga Getah Malaysia

Mekanisme baharu bantu pekebun kecil getah

Lembaga Getah Malaysia (LGM) tidak terlepas daripada menjadi bahan kecaman pekebun kecil getah berikutan kejatuhan harga komoditi itu sejak hujung tahun 2011 yang dilihat seolah-olah sukar untuk meningkat semula.

Harga getah beku di ladang yang mencecah RM7.30 sekilogram (kg) pada Februari 2011 dan berlegar sekitar RM7 antara bulan berkenaan hingga Oktober 2011, tetapi merudum sejak November 2011 sehingga mencecah RM2 sekilogram sekarang, menyebabkan kira-kira 300,000 pekebun kecil bukan setakat mengeluh, malah ada sesetengah mereka 'menggantung pisau toreh.'

Keluhan pekebun terbabit disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) bagi merayu kerajaan mengambil langkah segera mengurangkan bebanan kejatuhan harga getah.

LGM di bawah pentadbiran Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Salmiah Ahmad, sebenarnya tidak pernah memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap isu berkenaan. Pelbagai kaedah dirangka untuk membantu pekebun kecil. Meskipun tidak mampu melonjakkan semula harga getah dengan sekelip mata, langkah untuk membantu mereka tetap diusahakan.

Cadangan kepada kementerian

Berikutan itu, LGM mencadangkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk memperkenalkan Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014. Undang-undang baharu yang diluluskan Pejabat Peguam Negara itu dilancarkan Menterinya, Datuk Seri Douglas Uggah Embas pada 16 Jun lalu.

Undang-undang itu amat penting untuk menetapkan harga getah pelbagai gred, terutama Standard Rubber Malaysia (SMR) 20 yang digunakan dalam pelbagai industri berasaskan getah, terutama pembuatan tayar.

Jika sebelum ini LGM terpaksa bergantung kepada Panel Penasihat Harga Mengikut Gred untuk mencadangkan harga getah pelbagai gred, kini LGM sendiri mampu menetapkannya tanpa perlu bergantung kepada panel terbabit.

Panel berkenaan ialah 20 syarikat perdagangan getah tempatan yang membeli getah dan mengeskportnya ke pelbagai negara, terutama China, Jepun dan Eropah.

Kira-kira 20 anggota panel berkenaan dihubungi pegawai LGM pada setiap jam 8 pagi dan 5 petang untuk mendapatkan harga getah yang dibeli mereka daripada kilang pemprosesan getah dan harga dieksport. Dengan mengambil purata harga diberikan panel berkenaan, LGM mencadangkan harga harian getah.

Namun, kaedah berkenaan didakwa oleh PKPKM sebagai tidak telus kerana ahli panel terbabit tidak pernah menyerahkan dokumen harga sebenar perdagangan pembelian dan pengeksportan getah kepada LGM untuk diteliti bagi menentukan kesahihan urus niaga mereka.

Salmiah yang ditemui di pejabatnya di Menara Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini menjelaskan, melalui undang-undang baharu itu, LGM diberi kuasa untuk meminta panel terbabit menyerahkan kontrak sebenar pembelian dan pengeksportan getah, sekali gus membolehkan LGM menetapkan harga harian getah.

"Kita boleh minta pengilang beri kontrak sebenar yang mencerminkan keadaan sebenar dalam pasaran. Sebelum ini kami pernah berkali-kali mencuba untuk mengubah kaedah keadaan sedia ada, tetapi tidak berjaya.

"Bagaimanapun, dengan adanya peraturan baharu itu, kita boleh lihat kontrak sebenar syarikat berkenaan. Kita tidak boleh menuduh syarikat itu memanipulasi harga getah kerana mereka berniaga mengikut harga pasaran getah dunia. Mereka berusaha membeli bahan mentah semurah mungkin. Kita tidak mahu peserta industri getah ada persepsi kononnya LGM bersangka negatif terhadap mereka," katanya.

Ruang nikmati harga lebih tinggi

Dengan menetapkan harga melalui kaedah itu, LGM berkemungkinan besar akan memansuhkan panel itu, sekali gus menyediakan ruang yang lebih luas untuk pekebun kecil menikmati harga getah lebih tinggi.

Satu lagi kaedah bakal dilaksanakan LGM bagi membantu mengurangkan bebanan kejatuhan harga getah ialah menetapkan harga getah di ladang melalui konsep pemberian potongan harga atau diskaun kepada kilang pemprosesan dan peraih.

Harga getah di ladang diperoleh dengan cara menolak harga getah yang ditetapkan oleh LGM dengan diskaun diberikan kepada pengilang dan peraih. Ia bagi memastikan pengilang dan peraih tetap menikmati keuntungan daripada perniagaan masing-masing, manakala pekebun kecil juga turut menikmati harga yang lebih baik.

Contohnya, jika LGM menetapkan harga getah SMR 20 adalah RM6.10 sekilogram dan memberikan diskaun RM1.10 kepada pengilang dan peraih (pengilang mendapat 70 sen dan peraih mendapat 40 sen), maka harga getah di ladang ialah RM5.

Pekebun kecil bagaimanapun tidak akan mendapat RM5 sekilogram kerana ia harus mengambil kira aspek kandungan getah kering (KGK) bagi setiap kilogram getah beku yang dijual kepada peraih. Lazimnya, getah beku yang dijemur satu atau dua hari mengandungi 50 peratus KGK yang harus ditolak. Oleh itu, pekebun kecil akan mendapat harga di ladang pada RM2.50 sekilogram.

Diskaun berkenaan disediakan kepada pengilang kerana mereka mengeluarkan kos untuk memproses getah beku menjadi SMR 20, manakala peraih terpaksa mengeluarkan kos penghantaran,

Kaedah berkenaan berbeza sama sekali dengan cara pembelian getah di ladang sebelum ini yang menyaksikan peraih menetapkan harga getah di ladang sebelum menjualnya kepada pengilang.

Lazimnya, pekebun kecil menjemur getah beku antara satu hingga dua hari sebelum menjualnya kepada peraih. Lebih lama getah beku dijemur, maka lebih tinggilah peratusan KGK dan semakin tinggilah harga dinikmati pekebun terbabit.

Melalui kaedah pemberian diskaun itu, pekebun kecil mempunyai peluang untuk memahami harga getah ditetapkan LGM dan memilih peraih yang bersedia menawarkan harga lebih menarik berbanding
kaedah sebelum ini.

Pinjaman bantu Koperasi Pekebun Kecil

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyediakan dana pinjaman mudah RM6.4 juta bagi membantu Koperasi Pekebun Kecil (KPK) membeli lebih banyak getah untuk dijual kepada pengilang syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kebanyakan KPK tidak mampu bersaing dengan peraih syarikat swasta dari aspek pengangkutan dan modal kerja. Kekangan modal menyebabkan KPK tidak mampu menyediakan kenderaan yang mampu masuk ke merata ceruk kampung untuk membeli getah berbanding peraih individu atau syarikat swasta.

"Apabila LGM meletakkan diskaun, mungkin ada sesetengah peraih atau pengilang tidak dapat keuntungan, lalu dia tidak dapat membayar pada harga ditetapkan oleh LGM. Oleh itu, kita memerlukan badan yang boleh bekerjasama dengan kita.

"Kita meminta bantuan KPK dan pengilang GLC. KPK tidak boleh bersaing dengan syarikat besar dari aspek modal kerja. Pengilang GLC kita beroperasi pada tahap kapasiti rendah. Ini menyebabkan kos memproses getah tinggi. Kita minta KPK membeli lebih banyak getah dan membawanya ke pengilang GLC.

"Kita beri dana RM6.4 juta sebagai pinjaman mudah kepada KPK untuk dijadikan sebagai modal kerja atau membeli lori untuk masuk ke seluruh pelosok kampung," kata Salmiah.

LGM meletakkan sasaran agar lebih banyak KPK dan pengilang GLC terbabit dalam pembelian dan pemprosesan getah selepas organisasi berkenaan melaksanakan program percubaan kira-kira tiga bulan.

"Jika semua berjalan lancar dan kita menerima laporan yang positif, insya-Allah kita akan melaksanakannya menjelang Januari depan. Oleh itu, kami menawarkan kepada KPK untuk memohon pinjaman mudah itu," tambah Salmiah.

Sebagai permulaan, LGM bercadang menyalurkan dana itu kepada 64 KPK di seluruh negara dengan peruntukan pinjaman RM100,000 setiap KPK dan jika ia menerima sambutan menggalakkan, LGM bersedia memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan.

Kawal harga elak kepentingan pihak tertentu

Rumusannya, langkah LGM menetapkan harga getah tanpa bergantung kepada Panel Penasihat Harga Mengikut Gred mampu mengawal harga getah daripada ditentukan hanya dengan mengikut kepentingan pihak tertentu yang hanya ingin mengaut keuntungan atas penderitaan pekebun kecil.

Usaha LGM menyediakan diskaun bagi pengilang dan peraih diharapkan mampu menyediakan landasan untuk pekebun kecil menikmati harga getah di ladang yang lebih tinggi, setidak-tidaknya melepasi harga getah beku semasa antara RM2.20 hingga RM2.30 sekilogram.

KPK dan pengilang GLC harus menyahut usaha kerajaan membantu pekebun kecil. Pinjaman mudah yang disediakan itu seharusnya membantu KPK membeli lebih banyak getah, manakala pengilang GLC pula tidak boleh lagi beroperasi pada kapasiti rendah.

Hanya dengan usaha bersepadu semua pihak terbabit dalam industri getah, nasib pekebun kecil getah akan terbela.

Harga lantai getah beku RM4 sekilo tak berasas

Kerajaan tidak mampu menetapkan harga lantai getah beku RM4 sekilogram kerana ia membabitkan kos terlalu tinggi. Sebaliknya, kerajaan membantu pekebun kecil getah yang terjejas akibat kejatuhan harga dengan melaksanakan kaedah memberikan diskaun kepada pengilang getah dan peraih bagi meningkatkan harga getah beku di ladang.

Sebelum ini Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) berulang kali meminta kerajaan menetapkan harga getah beku di ladang RM4 sekilogram bagi membantu meringankan beban pekebun kecil.

Getah beku perlu ditolak kandungan air

Menjelaskannya, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Salmiah Ahmad, berkata getah beku yang dijual pekebun kecil kepada peraih di ladang harus ditolak kandungan airnya bagi mendapatkan kandungan getah kering (KGK).

Lazimnya, getah beku yang dijemur antara satu hingga dua hari mengandungi 50 peratus KGK dan memerlukan antara lima hingga tujuh hari jemuran bagi mendapatkan KGK antara 80 hingga 100 peratus.

Kebanyakan pekebun kecil bagaimanapun tidak mampu menunggu lama untuk menjemur komoditi itu kerana ia akan menyebabkan mereka tidak mendapat pulangan hasil daripada titik peluh dan penat lelah menoreh.

"Harga lantai RM4 itu berasaskan faktor apa? Ramai pekebun kecil meminta kerajaan menetapkan harga lantai RM4 sekilogram. Apakah asas RM4 itu?

"Adakah ia berasaskan 100 peratus KGK atau 50 peratus KGK? Kalau 100 peratus KGK bernilai RM4, itu memang wajar. Bagaimanapun, jika 50 peratus KGK bernilai RM4, bermakna ia sudah menjadi RM8 sekilogram. Ia terlalu tinggi," katanya.

Bandingkan harga ditawar peraih

Sehubungan itu, beliau meminta pekebun kecil memahami kaedah pemberian diskaun kepada pengilang dan peraih yang membantu mereka membuat perbandingan harga ditawarkan peraih.

"Setiap hari LGM akan mempamerkan harga getah SMR 20 dan harga getah di ladang di tempat penjualan getah. Pekebun kecil boleh meneliti harga yang ditawarkan peraih kepada mereka," katanya.

Dengan membuat perbandingan harga tawaran itu, pekebun kecil tidak lagi terpaksa menjual getah beku hanya kepada peraih tertentu, sebaliknya mempunyai pilihan untuk menawarkan getah beku kepada peraih lain yang sanggup menawarkan harga lebih tinggi.

Berita Harian X