Khamis, 11 September 2014 | 5:55am

Jangan biar suara minoriti gugat keamanan negara

HARGA petrol RON95 kini RM2.30 seliter. Pengurangan subsidi bahan api boleh cegah kes seludup bahan api. - Gambar hiasan
HARGA petrol RON95 kini RM2.30 seliter. Pengurangan subsidi bahan api boleh cegah kes seludup bahan api. - Gambar hiasan

Dewasa ini kebebasan bersuara hangat dibincang dalam kalangan ahli politik dan generasi muda hingga ada suara sumbang kedengaran di sana-sini mendakwa kononnya kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk mendiamkan atau melenyapkan suara rakyat yang dianggap tidak selaras dengan pemikiran politik pemerintah atau kerajaan. Malah, pihak yang mengaku dirinya sebagai badan bertauliah dan arif dalam bidang perundangan juga berlumba-lumba mempertahankan individu atau kumpulan yang didakwa di mahkamah kerana gagal menghormati undang-undang negara iaitu undang-undang yang disediakan untuk menjamin keamanan dan keselamatan rakyat berbilang kaum dan agama.

Persoalannya, apakah kumpulan yang mendakwa kerajaan mengehadkan kebebasan rakyat bersuara benar-benar ikhlas dalam mengetengahkan pendirian mereka atau menggunakan sesuatu institusi ikhtisas untuk memperjuangkan agenda politik kumpulan atau parti politik tertentu?

Sebelum mencari jawapannya, adalah wajar kita meneliti matlamat dan kepentingan Akta Hasutan 1948 yang dikuatkuasakan di Malaysia dan langkah yang telah diambil oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, dalam meluaskan skop kebebasan rakyat bersuara agar demokrasi matang dapat dipelihara dan disuburkan di Malaysia.

Kebebasan bersuara, berkumpul asas demokrasi

Kebebasan bersuara, berkumpul dan menyatakan pendapat dalam bentuk lisan dan cetak adalah hak asas seseorang individu dalam sistem politik demokrasi tulen. Menyedari kebenaran ini, kerajaan umumkan Program Transformasi Politik (PTP) pada 16 September 2011 yang membabitkan penggubalan, pindaan dan pemansuhan, malah pembatalan beberapa undang-undang yang dianggap tidak relevan dengan peredaran zaman atau dianggap songsang oleh ahli politik, terutama masyarakat sivil yang mengharapkan pembaharuan dalam bidang perundangan agar suara rakyat dapat diluaskan.

Sehubungan ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kian dicemuh oleh kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia, dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Selain itu, beberapa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri juga dibatalkan. Akta untuk membenarkan dan memudahkan orang ramai berkumpul untuk menyatakan sesuatu pandangan atau hasrat kepada kerajaan juga digubal dan diluluskan. Kebebasan untuk mencetak dan menerbit bahan-bahan cetak dalam menyebarkan fahaman sesuatu ideologi atau pendapat diperluaskan dengan membuat pindaan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Akta Universiti dan Kolej Universiti yang didakwa mengongkong kebebasan pelajar universiti dan kolej dipinda dalam menjamin kebebasan kepada pelajar bergerak, menyertai politik di dalam dan luar kampus.

Perlu ditegaskan bahawa Program Transformasi politik dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ruang demokratik diperluaskan untuk melayan dan menampung perbezaan pendapat serta persaingan idea dalam era globalisasi yang kian menuntut kebebasan individu ke tahap yang lebih tinggi. Pelaksanaan program itu jelas menunjukkan kerajaan berhasrat mencipta sebuah negara yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung sambil kepentingan individu dan komuniti diimbangi.

Kepemimpinan kerajaan berasakan Malaysia memasuki era demokrasi lebih matang dengan peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung kebebasan agar rakyat dapat menikmati hak asasi yang sepatutnya. Walaupun ISA banyak membantu memastikan demokrasi dan hak asasi manusia dilindungi, kerajaan berpendapat masanya telah tiba untuk beralih kepada satu perundangan lebih progresif dan keselamatan negara adalah terletak atas kematangan politik rakyat.

Berteraskan fahaman ini, kerajaan menggubal undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk terus menjamin keselamatan dan keamanan rakyat Malaysia. Kerajaan tidak menggubal undang-undang itu dengan sewenang-wenangnya, tetapi berlandaskan kepada kuasa yang ditetapkan Perlembagaan Malaysia. Perkara 149 (1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi menangani ancaman oleh individu atau sesuatu kumpulan seperti berikut:

(a) Menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu;

(b) Membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan;

(c) Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau penduduk ;

(d) Mengubah dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang;

(e) Mendatangkan mudarat kepada penyelenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang ramai atau mana-mana orang dalam Persekutuan;

(f) Mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam dalam atau keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012

Namun, ada pihak yang mengelirukan rakyat, malah mengeluh bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bertentangan dengan hal yang berkaitan dengan kebebasan seorang individu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak bercanggah dengan kebebasan seseorang individu seperti termaktub dalam Perlembagaan terutama dalam Perkara 5 (kebebasan diri) Perkara 9 (kebebasan bergerak), Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan) dan Perkara 13 (Hak terhadap harta).

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 memperluaskan lagi kebebasan seseorang individu kerana tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik. Kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu yang terkandung dalam ISA dimansuhkan. Polis pula hanya diberi kuasa menahan seseorang tidak melebihi daripada 28 hari untuk maksud penyiasatan. Selain itu, akta itu juga membenarkan orang yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan penahanan dan tatacara penahanan. Perkara yang terkandung dalam SOSMA jelas memperluaskan hak kebebasan bersuara dan berpolitik di Malaysia.

Kebanyakan negara di dunia yang dianggap sebagai peneraju dan pelindung demokrasi berparlimen dewasa ini juga memperketatkan undang-undang dalaman untuk menjamin keselamatan. Sebagai contoh, Amerika Syarikat melaksanakan Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002; Australia melaksanakan Terrorism Act 2005; Singapura yang selalui dicontohi oleh setengah pihak sebagai negara mengamal kebebasan rakyat bersuara melaksana Internal Security Act; United Kingdom melaksana Terrorism Act 2000; Sri Lanka melaksana Prevention of Terrorism Act 1982; Ghana melaksanakan Preventive Detention Act 1958 dan Brunei melaksanakan Internal Security Act.

Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam bidang undang-undang untuk meluaskan kebebasan rakyat bersuara, ada pula pihak yang mendakwa kerajaan kini menggunakan Akta Hasutan 1948 dalam melenyapkan suara yang menentang kerajaan. Ada akhbar tempatan yang menyiar berita bahawa Perdana Menteri berasa gentar menghadapi kritikan rakyat dan dengan itu cuba menggunakan akta itu untuk senyapkan suara yang mengkritik kerajaan pimpinan beliau.

Apakah kumpulan yang menuduh kononnya Najib tidak berani bersemuka dengan pengkritik kepemimpinan beliau menghidap penyakit myopic atau rabun jauh? Apakah mereka tidak melihat betapa berani dan hebatnya Najib berunding secara terus menerus dengan ketua kumpulan pemberontak Ukraine dalam isu MH17, Alexander Borodai untuk mendapat kerjasama beliau agar pasukan penyelamat dan penyiasat Malaysia dan antarabangsa mendapat akses ke lokasi nahas, membawa balik jenazah kru dan penumpang yang menjadi mangsa dalam tragedi MH17, malah berjaya memujuk pemberontak menyerahkan kotak hitam MH17 kepada Malaysia untuk membantu dalam siasatan punca nahas MH17.

Tidak dapat dinafikan sistem politik demokrasi memberi hak kepada rakyat bersuara. Kesuburan sistem demokrasi memerlukan penyertaan rakyat dalam memilih pemimpin atau wakil mereka melalui proses pilihan raya. Rakyat bukan sahaja berhak menyuarakan pendapat, malah menyatakan pendirian secara terbuka terhadap sesuatu dasar yang diumumkan kerajaan atau sebelum sesuatu dasar diumumkan. Rakyat juga diberi kebebasan memberi pandangan semasa sesuatu dasar berada dalam peringkat penggubalan. Perbincangan dan perdebatan mengenai sesuatu dasar kerajaan sebelum dilaksanakan atau dikuatkuasakan adalah asas atau sine qua non perjalanan sistem politik yang berlandaskan falsafah demokrasi.

Kumpulan salah guna hak atau kebebasan

Rakyat dibenarkan menyuarakan pendapat dalam mencari kebenaran. Terdapat juga kumpulan dan golongan yang sering menyalahgunakan hak atau kebebasan yang dinobatkan kepada rakyat oleh Perlembagaan sesebuah negara. Menyedari lumrah manusia untuk menyalahgunakan kelonggaran yang terdapat dalam undang-undang yang disediakan untuk mengawal tingkah laku warga sesebuah negara, kerajaan yang mementingkan keamanan, keselamatan, moral dan hubungan antara rakyat secara amnya dan hubungan antara berbilang kaum dan agama, menyediakan undang-undang khusus untuk mengehadkan kebebasan secara yang boleh menimbulkan keresahan, permusuhan malah anarki.

Di Malaysia, rakyat diberi peluang yang luas untuk bersuara atau mengeluarkan pendapat mereka dengan bebas berasaskan kepada kebebasan dan sikap bertanggungjawab. Malaysia lebih mementingkan keharmonian antara kaum berteraskan sejarah politik negara. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama diharapkan menghormati perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama. Sebahagian besar rakyat Malaysia percaya dan yakin demokrasi tulen memerlukan amalan budaya rakyat memahami dan bergerak dalam ruang sempadan kebebasan yang digariskan oleh Perlembagaan Malaysia dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Parlimen berkuasa menentukan kebebasan seseorang demi kepentingan rakyat umum.

Akta Hasutan 1948 dikuatkuasakan bukan untuk merencatkan kebebasan bersuara, tetapi untuk menjamin tidak sesiapa menyentuh perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dan permusuhan antara kaum di Malaysia. Baru-baru ini rakyat Malaysia menyaksikan ada pihak yang melanggar Akta Hasutan 1948 terutama Seksyen (4) (1)(b) and Seksyen 4(1)c), Akta Hasutan 1948. Ada pihak yang menyoal institusi Raja-Raja dan adapula pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemai benih pemikiran dalam kalangan rakyat Sabah untuk memisah daripada Malaysia.

Sehubungan ini, rakyat Malaysia perlu sedar apakah maksud dan tafsiran 'hasutan' yang disebut dalam Akta Hasutan 1948 agar tidak ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat yang kurang arif dalam hal perundangan?

Menurut Seksyen 3(1) (a) hingga Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan 1948, hasutan adalah dirujuk kepada 'kecenderungan' menghasut meliputi pelbagai keadaan termasuk membangkitkan perasaan benci terhadap mana-mana raja atau kerajaan, pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan membangkitkan permusuhan antara kaum.

Seksyen 4 (1) (c) pula memperuntukkan kesalahan mencetak, menjual, mengedar, atau mengeluar ulang apa-apa penerbitan mengandungi bahan berunsur hasutan.

Namun, ada pihak yang menuduh Akta Hasutan 1948 merencatkan hak bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan, malah bertentangan dengan semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan dikatakan memberi kebebasan kepada rakyat Malaysia mengeluarkan pendapat atau fikiran.

Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara. Namun Perkara 10 (1) (a), hendaklah ditafsir bersamaan dengan lain-lain perkara dalam Perlembagaan yang mengehadkan kebebasan itu.

Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan had atau sekatan ke atas kebebasan bersuara jika ia diperlukan atau mustahak untuk melindungi tujuh perkara seperti berikut:

1. Kepentingan keselamatan negara;

2. Perhubungan kerajaan dengan negara-negara lain;

3. Ketenteraman awam;

4. Melindungi keistimewaan Parlimen/Dewan Undangan Negeri;

5. Penghinaan terhadap mahkamah;

6. Fitnah;

7. Perbuatan mengapi-apikan supaya melakukan kesalahan

Dengan ini jelas bahawa kebebasan bersuara bukanlah satu hak atau kebebasan yang mutlak. Lebih-lebih lagi, Malaysia selaku sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama dan budaya tidak mampu membenarkan sesiapa mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan atau fikiran dengan mutlak kerana bimbang elemen menghasut yang boleh menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa hingga menggugat keamanan negara yang terbina sejak negara mencapai merdeka.

Elak suara bersifat ekstrem, berat sebelah

Kesimpulannya, rakyat Malaysia bebas untuk bergerak, berkumpul dan bersuara dengan bertanggungjawab. Rakyat Malaysia harus elak suara yang bersifat kekerasan, ekstrem dan berat sebelah. Disebaliknya, lebih utamakan suara yang bersifat jalan tengah, keseimbangan dan kebijaksanaan. Rakyat yang menyokong suara sederhana perlu bangkit untuk menenggelamkam suara lantang yang dibangkitkan sesuatu kumpulan kecil dalam masyarakat yang cuba membelakangkan kepentingan majoriti rakyat Malaysia. Perlu ditegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang warga berhak menghina dan membangkit perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum. Undang-undang perlu dikuatkuasakan dalam menjamin keseimbangan terbaik antara kebebasan bersuara selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan kompleksiti kemajmukan rakyat Malaysia agar perpaduan antara kaum, harmoni antara berbilang dan stabiliti politik sentiasa terjamin.

* Penulis ialah anggota panel pemikir JASA .

Berita Harian X