Isnin, 10 November 2014 | 12:35pm

'Pinjaman lain sanggup bayar, hutang PTPTN culas!'

Isu pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hangat diperkatakan kini, berikutan peminjam tegar culas membuat bayaran balik pinjaman. Banyak persoalan mengapa peminjam ingkar dan mengambil mudah perkara berkenaan, sedangkan ribuan pelajar baharu lain menunggu untuk menerima bantuan yang sama.

Ikuti kupasan wartawan BH Ahad, MOHD HAMIZAR HAMID dan M HIFZUDDIN IKHSAN yang menemubual Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan, berhubung isu berkenaan.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah

Wartawan: Isu mengenai peminjam PTPTN gagal melunaskan pinjaman tidak pernah selesai. Adakah melalui pendekatan penyenaraian dalam CCRIS ini, mampu menyelesaikan isu ini?

Shamsul Anuar: Isu enggan membayar balik pinjaman bukan hanya dihadapi PTPTN, tetapi ia turut dihadapi pelbagai organisasi kewangan lain, sama ada dalam atau luar negara. Apa yang penting adalah langkah dan tindakan diambil sesebuah organisasi dalam menangani isu ini. PTPTN sudah membuat penelitian dan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum pendekatan ini diputuskan. Saya yakin langkah menyenaraikan nama peminjam dalam CCRIS akan memberikan kesedaran, rasa tanggungjawab dan membina sikap berdisiplin dalam diri peminjam untuk melaksanakan bayaran balik pinjaman mereka demi untuk kesinambungan generasi akan datang.

S: Berapa dana tahunan diperlukan PTPTN untuk memastikan pinjaman pendidikan dapat diteruskan dan berapa jangkaan peruntukan diperlukan bagi tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan pelajar terus mendapat pembiayaan melanjutkan pengajian?

J: Berdasarkan aliran semasa, PTPTN memerlukan dana RM5 bilion setiap tahun bagi membiayai pinjaman pendidikan merangkumi kos yuran dan sara hidup pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS). Ini membuatkan kita memerlukan RM25 bilion bagi tempoh lima tahun yang akan datang. Bagaimanapun, susulan dasar baharu penurunan jumlah pinjaman sebanyak lima dan 15 peratus serta penggunaan data BR1M dalam penentuan jumlah pinjaman mulai 1 November 2014, PTPTN dijangka memerlukan RM21 bilion, penjimatan sebanyak RM4 bilion. Selain itu, PTPTN juga menyediakan peruntukan bagi membayar balik pinjaman kepada institusi kewangan pada tarikh matang pinjaman berkenaan.

S: Ada pihak mendakwa penyenaraian CCRIS adalah langkah kejam ketika peminjam baharu mula bekerja. Boleh jelaskan mengapa langkah ini terpaksa dilaksanakan juga oleh PTPTN?

J: Kita perlu faham rasional langkah ini diambil. Penyenaraian ini bukan saja baik kepada PTPTN, tetapi juga kepada peminjam sendiri. Ia bertujuan membina sikap disiplin dan menanamkan rasa tanggungjawab peminjam untuk melaksanakan bayaran balik pinjaman yang sudah diberikan. Menerusi penyenaraian ini, peminjam akan memastikan mereka memenuhi komitmen memastikan pembayaran balik pinjaman secara konsisten.

  Jika dilihat kepada prestasi bayaran balik semasa, setakat ini PTPTN hanya menerima bayaran balik RM5.41 bilion daripada jumlah sebenar patut diterima sebanyak RM12 bilion, iaitu 45.18 peratus saja. Ada peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik langsung. Menerusi penyenaraian ini, kita berharap peminjam terbabit tampil, sama ada membuat bayaran balik seperti sepatutnya atau membuat rundingan supaya rekod mereka baik. Langkah ini diambil untuk memastikan dana yang mencukupi untuk setiap lapisan generasi yang akan datang. Bayaran balik oleh peminjam ini akan digunakan sebagai pinjaman kepada pelajar baharu yang akan menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT). Adilkah? Jika kita saja yang mengecapi kejayaan, sedangkan adik-adik kita yang lain gagal memasuki IPT atas sebab kewangan.

 

S: Mengapa selama ini peminjam gagal membuat pembayaran. Adakah mereka sengaja tidak mahu membayar semula atau benar-benar kesempitan?

J: Pelbagai alasan diberikan peminjam PTPTN, antara yang biasa ialah belum mempunyai pekerjaan, sedang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, mahupun alasan belum memperoleh pekerjaan setara kelayakan akademik, yang mana secara tidak langsung memberi makna gaji diterima rendah dan tidak mencukupi. Namun, rata-rata mereka mempunyai pinjaman lain seperti perumahan, kenderaan dan pembiayaan peribadi. Mereka memberikan keutamaan untuk membuat bayaran balik pinjaman yang lain itu, berbanding membayar balik pinjaman PTPTN. Bagi PTPTN, peminjam yang tidak mampu dan mempunyai masalah untuk membuat bayaran balik seperti yang ditetapkan, perlu datang berunding memaklumkan kepada PTPTN berhubung perkara itu, bukannya berdiam diri atau melarikan diri. PTPTN sedia berbincang dan menawarkan pilihan penyelesaian kepada peminjam berkenaan, termasuk mereka boleh membuat permohonan penangguhan bayaran balik, memohon penstrukturan semula pinjaman atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman.

S: Mengenai hasutan pihak tidak bertanggungjawab agar peminjam tidak membayar balik, adakah ia memberi kesan kepada kutipan PTPTN? Bagaimana cara mengatasi isu politik seperti ini?

J: Tidak dinafikan hasutan pihak tidak bertanggungjawab sememangnya memberikan kesan kepada kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN. Mana-mana juga peminjam yang disogokkan janji tidak perlu membuat bayaran balik, sudah pasti akan mengambil langkah memberhentikan bayaran mereka, di samping mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta berharap janji itu menjadi kenyataan. Peminjam PTPTN yang juga graduan pelbagai institusi pengajian tinggi seharusnya pandai dan bijak menilai serta tidak mudah terpengaruh hasutan ini. Dapatkan maklumat yang tepat dan jelas secara terus daripada pegawai dan kakitangan PTPTN. Pejabat PTPTN dibuka di seluruh negara dan kini terdapat 25 cawangan yang boleh dikunjungi peminjam untuk bertanya dan berunding berkaitan bayaran balik pinjaman mereka. Inisiatif  PTPTN membuka pejabat di setiap negeri adalah untuk lebih dekat dengan peminjam dalam memastikan maklumat yang tepat dan jelas disampaikan kepada para peminjam.

S: Gaya hidup pelajar kini sudah banyak berbeza berbanding dulu, apakah ada kaitan dengan pinjaman PTPTN sehingga ada yang menyeleweng pinjaman bagi tujuan bukan kepada keperluan pembelajaran?

J: Kita tidak menolak bahawa gaya hidup pelajar kini jauh berbeza daripada pelajar dulu, ia sudah tentu kerana zaman juga sudah berubah. Bagaimanapun, pelajar perlu sedar peranan mereka sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi adalah untuk belajar setelah berjaya di peringkat sekolah menengah. Untuk mendapatkan peluang pekerjaan dengan mudah, pelajar perlu fokus dan belajar bersungguh-sungguh. Pinjaman PTPTN adalah untuk menampung kos yuran dan sara hidup mereka di IPT sepanjang pembelajaran dan ia perlu digunakan sebaik mungkin. Pelajar diingatkan memanfaatkan pinjaman dengan sebaiknya, tidak membazir dan mengikut keperluan, bukannya kehendak seperti memiliki telefon pintar yang canggih, kenderaan mewah atau berfoya-foya bersama rakan. Sekiranya pinjaman ini digunakan dengan baik dan penuh manfaat sehingga tamat pengajian, saya yakin pelajar akan berasa lebih bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik.

S: Boleh jelaskan isu kos pentadbiran yang dikenakan PTPTN yang didakwa membebankan peminjam. Bolehkah langkah menghapuskan kos pentadbiran dilakukan?

J: PTPTN sudah mengurangkan kos pentadbiran daripada lima dan tiga peratus sebelum ini kepada pembiayaan ujrah dengan bayaran upah hanya satu peratus. Ujrah adalah pembiayaan pendidikan yang patuh syariah dan sudah diputuskan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama sejak 28 Julai 2008 lagi. Pelaksanaan ujrah satu peratus ini amat minimum dan ia sebenarnya digunakan untuk meningkatkan sistem perkhidmatan kepada pelanggan seperti pembangunan infrastruktur dan teknologi maklumat serta lain-lain perbelanjaan.

Memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan adalah fokus utama PTPTN. Atas keperluan ini, maka kos ini tidak boleh dihapuskan. Walaupun sudah diturunkan kepada satu peratus, namun masih ada peminjam tidak mengambil peluang bertukar daripada pembiayaan konvensional kepada ujrah. Setiap peminjam perlu bijak mengambil peluang bertukar kepada pembiayaan ujrah satu peratus kerana ia memberikan penjimatan sehingga hampir separuh kos pinjaman sebelum ini. Bagi peminjam yang belum menukar pinjaman secara konvensional kepada ujrah, sewajarnya melaksanakan pertukaran dengan segera. Kempen 'Jom Tukar Ujrah' sedang berlangsung ketika ini di pejabat PTPTN seluruh negara dan akan berakhir pada 31 Disember 2014.

Sekiranya ingin menikmati pembiayaan percuma, PTPTN turut menyediakan kemudahan tersebut. Peminjam hanya perlu fokus dan belajar bersungguh-sungguh di institusi pengajian tinggi hingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Sesungguhnya ilmu itu tinggi nilainya.

 

Berapa ramai peminjam mendapat manfaat daripada pengecualian bayaran balik selepas mendapat Ijazah Kelas Pertama?

J: Sehingga 30 September 2014, seramai lebih 22,000 peminjam telah diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf yang membabitkan pinjaman berjumlah RM610.39 juta. 

Bersedia hadapi rekod buruk dalam CCRIS

Agos Cholan

Wartawan: Apakah  matlamat dan rasional  penyenaraian peminjam PTPTN ke dalam CCRIS?

Agos: Matlamat penyenaraian ini adalah bagi memastikan PTPTN dapat mengukuhkan kedudukan kewangannya, selepas kami terpaksa meminjam daripada institusi kewangan bagi memastikan dana pinjaman pelajaran mencukupi setiap tahun.  Penyenaraian peminjam tegar PTPTN dalam CCRIS  bukan bertujuan menghukum, sebaliknya menggalakkan peminjam agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab membayar balik pinjaman mereka. Kita menyedari CCRIS berfungsi merekodkan laporan pinjaman kepada institusi kewangan, ini membuatkan peminjam PTPTN terutama mereka yang tegar lebih bertanggungjawab memastikan komitmen bayaran dibuat dengan konsisten.

 

Siapakah golongan peminjam termasuk dalam penyenaraian CCRIS dan apa yang dapat diberikan kembali PTPTN kepada masyarakat terutama peminjam baharu?

J:  Peringkat pertama penyenaraian dibuat terhadap 173,985 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik melebihi tiga tahun. Jumlah keseluruhan tunggakan ansuran balik adalah RM1.23 bilion dan menerusi pendekatan ini PTPTN  menyasarkan 60 peratus daripada jumlah berkenaan  dapat dikutip.  Sudah pasti kutipan ini akan digunakan semula untuk membiayai pelajar baharu  yang ingin ke menara gading. Namun  kami dapat merasakan peminjam yang lain juga akan mula memandang serius terhadap perkara ini dan berusaha membuat bayaran balik atau membuat penstrukturan semula pinjaman mereka.  Ini akan menambahkan lagi kutipan tahunan PTPTN pada masa akan datang.

 

Sebelum penyenaraian CCRIS dibuat,  apakah langkah yang diambil  PTPTN bagi mengutip kembali hutang peminjam?

J: Sebenarnya, pelbagai  pendekatan mesra  pelanggan sudah diambil PTPTN termasuk mengadakan kempen kesedaran bayaran balik menerusi media, termasuk menyenaraikan nama peminjam dalam akhbar utama, taklimat ketika majlis agihan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) sebelum pelajar mendaftar ke institusi pengajian tinggi (IPT) serta taklimat bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kepada pelajar Tahun Akhir di IPT.  Pada masa sama, kita menyediakan pelbagai saluran pembayaran balik, bukan saja di kaunter PTPTN tetapi melalui bank, Pos Malaysia dan perbankan internet, termasuk membuka  25 cawangan PTPTN di seluruh negara bersama penghantaran notis peringatan bayaran balik. Kerajaan juga membantu apabila bersetuju memberi  diskaun 20 peratus kepada mereka yang membuat bayaran balik secara sekali gus selain rebat 10 peratus bagi pembayaran konsisten selama 12 bulan berturut-turut.

 

Apakah langkah yang diambil bagi menarik peminjam tampil membuat bayaran balik walaupun selepas tertunggak lebih 10 tahun?

J: Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap peminjam yang mempunyai tunggakan melebihi tempoh tertentu seperti  menyenarai hitam mereka daripada ke luar negara, selain berhadapan tindakan mahkamah atau saman.  Masih ada peminjam enggan membuat bayaran balik walaupun selepas disaman. Kami tidak kejam untuk melaksanakan tindakan undang-undang lebih serius seperti muflis. Akibatnya, peminjam tegar terus culas untuk membayar, walaupun selepas disaman dan terus terlepas selagi mereka tidak ke luar negara.

 

Apakah langkah perlu dilakukan peminjam  untuk mengelakkan rekod buruk dalam CCRIS?

J: Peminjam PTPTN yang belum mula membuat bayaran balik supaya hadir berunding dengan PTPTN menerusi 25 cawangan di seluruh negara dalam tempoh penyusunan semula  selewat-lewatnya pada 31 Disember 2014,  sebelum penyenaraian CCRIS berkuat kuasa. Untuk itu, dalam tempoh dua bulan ini, peminjam perlu mengunjungi pejabat PTPTN berhampiran untuk merundingkan pembayaran balik melalui  tiga pilihan iaitu membuat  penyelesaian penuh  secara sekali gus dan mendapat diskaun 20 peratus dengan surat pelepasan hutang dikeluarkan kepada mereka. Mereka juga boleh membuat penjadualan semula hutang dan menyelesaikannya secara ansuran dalam tempoh 12 bulan dan mendapat rebat 10 peratus atau menstrukturkan semula hutang dengan amaun ansuran berasaskan kemampuan tidak melebihi umur 60 tahun. 

Berita Harian X